JINWON bangga memperkenalkan makanan Korea halal kepada pelanggan.
JINWON bangga memperkenalkan makanan Korea halal kepada pelanggan.
Hajahfarhana Tarmudi


Populariti artis K-Pop di seluruh dunia termasuk Malaysia secara tidak langsung berjaya membuka laluan untuk budaya dan makanan Korea menjengah negara peminat yang sememangnya teruja menikmati keunikannya.

Meskipun K-Pop dan kulinari dua perkara berbeza, peminat gelombang Hallyu Korea Selatan tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri hidangan tradisi yang popular di negara itu sebagaimana yang sering di paparkan dalam semua drama dan filemnya.

Kimchi, bibimbap dan tteokbokki antara hidangan wajib yang disyorkan kepada mereka yang pertama kali ingin merasai masakan Korea. Bagi yang mahukan kelainan dan berani mencuba, bolehlah memesan samgyetang.

Khusus buat peminat makanan Korea Selatan, kini anda tidak perlu lagi mengembara ke negara Hallyu itu berulang kali untuk menikmati hidangannya yang lazat kerana di sini ia juga boleh didapati dengan mudah.

RESIPI ASLI IBU

Bagi Haikal Jinwon Abdullah, sememangnya dia tidak menyangka dapat memperkenalkan makanan Korea Selatan di Malaysia. Pemilik perniagaan makanan berasaskan trak makanan ini menyediakan sajian Korea yang halal kepada pelanggan.

Menariknya, semua hidangan yang disediakan di Jinwons Kitchen ini dimasak menggunakan resipi asal ibunya yang berasal dari daerah Cheongju.

“Namun, hidangan yang dimasak oleh isteri (warga tempatan) itu diubah sedikit bagi memastikan ia dapat menepati selera masyarakat di sini.

“Sebelum ini, saya dan isteri memang menjalankan perniagaan produk Korea yang dibawa masuk ke negara ini seperti kain dan mesin pengisar kentang.

“Malah, pada 2014 kami juga pernah memperkenalkan aiskrim tongkat (di Korea dikenali sebagai jipangyi) dan memegang hak reka bentuk kon aiskrim berkenaan di negara ini,” katanya.

Mualaf yang fasih berbahasa Melayu ini menambah, tahun lalu menjadi detik penting bagi dia dan isteri yang memulakan perniagaan berasaskan trak makanan.

Idea berkenaan tercetus selepas melihat semakin ramai rakyat Malaysia menggemari makanan Korea di samping penerimaan baik masyarakat terhadap konsep perniagaan trak makanan.

Bukan itu saja, mereka turut menawarkan khidmat penghantaran makanan di Selayang, Gombak, Batu Caves dan kawasan sekitar selain menerima tempahan untuk majlis korporat.

Perniagaannya beroperasi bermula jam 6 petang hingga 1 pagi di Tapak KLCC (Isnin hingga Rabu) manakala hari Jumaat hingga Ahad bertempat di PKNS Bangi dan Putrajaya.

Selain promosi dari mulut ke mulut, jenama berkenaan turut diperkenalkan di laman sosial, Instagram @jinwonskitchen. Terdapat lapan menu yang disediakan iaitu bulgogi cupbap, ojingeo cupbap, tepokki, jajangmyeon, lamb kimchi cupbap, yangnyeom tongdak, chezy tongdak dan buldak ramyun.

Perniagaan makanan pasangan suami isteri itu bermula pada Februari 2016 di bawah projek 1Malaysia Mobile Hawkers (1MMH) dengan bimbingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 4:56 AM