BERNAMA

Kuala Lumpur: Pangkalan Data Utama (PADU), yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan fokus kepada penyaluran subsidi yang adil akan membantu usaha untuk mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion tahun ini dengan pelaksanaan kelayakan 'ujian kemampuan' berdasarkan kepada pendapatan boleh guna bersih.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata penggunaan PADU, yang menyepadukan data sosio-ekonomi daripada pelbagai kementerian, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun, boleh dioptimumkan untuk memudahkan penyasaran subsidi dan bantuan sosial lain.

Kerajaan telah mempertimbangkan beberapa pilihan untuk kelayakan "ujian kemampuan" bagi subsidi bersasar sebagai alternatif kepada klasifikasi pendapatan isi rumah bulanan semasa, kata bank itu dalam laporan "Malaysia 2024 Outlook and Lookouts" (Tinjauan dan Prospek 2024 Malaysia).

Menurut laporan itu, ia adalah berdasarkan pendapatan boleh guna bersih individu dan subsidi bersasar bagi penerima yang layak untuk diberikan "tunai" melalui sistem perlindungan sosial; berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah, dan subsidi bersasar kepada penerima yang layak untuk diberikan "tunai" melalui gabungan skim perlindungan sosial dan bantuan sosial; dan "kad subsidi" yang akan diberikan kepada isi rumah dan individu yang layak berdasarkan kepada pendapatan boleh guna bersih mereka.

"Kami mengandaikan pilihan 'tunai' itu adalah untuk mengimbangi kesan inflasi dan kos sara hidup daripada pelarasan harga bahan api bersubsidi, manakala 'kad subsidi' akan menjadi pilihan bukan tunai dan memperuntukkan kuota (contoh, dalam liter bagi setiap tempoh tertentu) untuk bahan api bersubsidi kepada penerima yang layak," kata Maybank IB.

Bank itu berkata, penggunaan PADU boleh dioptimumkan untuk memudahkan penyasaran subsidi dan bantuan sosial lain bagi menambah baik program pemberian tunai, kebajikan, perlindungan sosial dan jaringan keselamatan sedia ada dengan tujuan menangani ralat pengecualian/inklusi, penyalahgunaan dan ketirisan.

"(Ia) kelaknya akan dapat memastikan belanjawan kerajaan yang membawa hasil terbaik bagi subsidi dan bantuan sosial yang mencapai sasaran dan mereka yang layak," katanya.

Maybank IB berkata ini kemungkinan boleh menamatkan subsidi ke atas barangan makanan penting dan sebaliknya digantikan dengan pemberian tunai tambahan atau pengimbangan kewangan, dan menambah baik serta menyelaraskan pelbagai program kebajikan, perlindungan sosial dan jaringan keselamatan.

Bank itu juga menjangkakan proses dan tempoh rasionalisasi subsidi bahan api akan dilakukan secara beransur-ansur, seiring dengan sasaran utama untuk mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion tahun ini, berbanding subsidi tertinggi RON95 dan diesel berjumlah RM41.75 bilion pada 2022.

Ia berkata rasionalisasi subsidi bahan api -- yang seterusnya diikuti pelarasan harga bahan api -- perlu dilakukan secara berperingkat untuk mengurangkan kesan ke atas inflasi.

Walaupun terdapat potensi penurunan kadar faedah di ekonomi utama lain, Maybank IB berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus tahun ini untuk menangani inflasi.

Bank itu mengunjurkan inflasi berada sekitar 3.0 peratus pada 2024, meningkat daripada anggaran 2.6 peratus tahun lepas.

"Bagaimanapun, kenaikan inflasi juga akan diimbangi oleh jangkaan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, yang kami jangka akan mengakhiri tahun 2024 pada paras 4.40 berbanding paras penutup 4.70 pada akhir 2023.

"Tinjauan ini mencerminkan jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS susulan OPR yang stabil, yang seterusnya mengecilkan perbezaan kadar faedah yang meningkat ke paras tertingginya dalam sejarah pada 2023, serta jangkaan pelaksanaan pelan tindakan makro yang seharusnya dapat meneguhkan keyakinan pelabur dan perniagaan terhadap ringgit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 4:12 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Peluncuran Sistem PADU (Pangkalan Data Utama) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Peluncuran Sistem PADU (Pangkalan Data Utama) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.