SEBAGAI co-opbank syariah terunggul di Malaysia, syarikat komited jadikan CBP  jenama korporat  diterima dan dikenali ramai.
SEBAGAI co-opbank syariah terunggul di Malaysia, syarikat komited jadikan CBP jenama korporat diterima dan dikenali ramai.

Co-opbank Pertama (CBP) tersenarai dalam Koperasi Premier Negara bagi tahun 2021 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

CBP sebelum ini sudah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Koperasi Terbaik negara di dalam Profil 100 Koperasi Negara 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, pengiktirafan dalam kelompok Koperasi Premier yang diberikan SKM membuktikan kemampuan CBP.

Beliau berkata, ia dalam usaha untuk terus mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaan dan seterusnya memberi manfaat kepada hampir 100,000 anggota CBP.

"Sebagai co-opbank syariah terunggul di Malaysia, kami akan terus komited bagi menjadikan CBP sebagai suatu jenama korporat yang diterima dan dikenali ramai.

"Pengiktirafan usaha ini penting bagi membuktikan CBP berada pada landasan tepat, dalam memastikan ia dapat bergerak seiring dengan institusi kewangan lain.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk Medac (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi); SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia); ahli lembaga, anggota CBP serta warga kerja CBP, atas kepercayaan serta usaha yang dicurahkan selama ini," katanya dalam kenyataan.

Katanya, komitmen dari seluruh warga CBP turut menjadi faktor penyumbang kepada pencapaian ini.

"Umum mengetahui bahawa pada 2020 adalah tahun amat mencabar bagi hampir semua perniagaan.

"CBP berjaya mendepani cabaran ini berdasarkan pencapaian prestasi kewangan tahun 2020 yang mencatatkan keuntungan RM85.1juta," katanya.

Beliau berkata, bagi menghadapi cabaran perniagaan bagi tahun seterusnya, CBP sedang merangka beberapa strategi perniagaan baharu yang dapat memelihara kelestarian prestasi CBP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:05 AM