Baharom (enam dari kiri) bersama pemenang Kempen Hello CBP 2023. - FOTO NSTP
Baharom (enam dari kiri) bersama pemenang Kempen Hello CBP 2023. - FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) bakal melancarkan produk baharu akaun semasa dikenali sebagai Salam Bis pada suku pertama tahun ini.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, produk baharu ini disasarkan kepada orang ramai dan pihaknya berharap dapat mencatatkan peningkatan pelanggan.

"Kita nak galakkan individu untuk datang membuat perbankan dengan kita.

"Pada masa yang sama, ia akan dapat memajukan lagi CBP ke peringkat seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Hello CBP 2024 di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, CBP turut mengumumkan suri rumah dari Gombak, Norfazla Idris sebagai pemenang hadiah utama Kempen Hello CBP 2023 yang membawa pulang sebuah kereta BMW 2 Series Coupe 218i.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, Salam Bis ini juga membolehkan pelanggan membuat simpanan dan melakukan pemindahan wang.

Mengulas mengenai Kempen Hello CBP 2024, Baharom berkata, pada kali ini, ia menawarkan hadiah sebanyak RM1.5 juta, iaitu tertinggi pernah ditawarkan oleh CBP.

Katanya, kempen ini telah bermula sejak 1 Januari dan berlangsung sehingga 31 Disember ini dan memfokuskan kepada semua pelanggan yang mendapatkan produk serta perkhidmatan CBP.

Beliau berkata, antara hadiah utama yang ditawarkan adalah empat kereta Proton S70, empat motosikal Suzuki Gixxer 250 serta pakej umrah.

"Pengumuman pelanggan terpilih akan dilakukan setiap suku iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember.

"Kempen ini merupakan salah satu cara untuk menghargai pelanggan yang menyokong CBP selama ini dan menjadikan CBP sebagai pilihan utama penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Norfazla ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka akan memenangi sebuah kereta BMW 2 Series Coupe 218i.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 6:04 PM