REEZAL Merican Naina Merican (tengah) bergambar bergambar pada majlis pra pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Menara MATRADE, hari ini. FOTO Bernama
REEZAL Merican Naina Merican (tengah) bergambar bergambar pada majlis pra pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Menara MATRADE, hari ini. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) kini mengorak langkah ke peringkat global apabila julung kalinya akan dilaksanakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dari 18 hingga 20 November 2024.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya bersedia untuk 'mengantarabangsakan' pameran dari Malaysia itu ke seluruh dunia, sekali gus memperluas industri halal tempatan.

"Kami sedang memikirkan pelan pengembangan kami di luar Dubai. Tumpuan kami adalah untuk meneroka peluang untuk memperkenalkan Mihas kepada pasaran penting seperti China dan Eropah.

"Ini sejajar dengan visi kami yang lebih luas untuk memupuk perkongsian antarabangsa dan mempromosikan produk Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.

"Dengan berkembang ke wilayah ini, kami berusaha untuk mencipta peluang baharu untuk perdagangan dan kerjasama, melonjakkan Mihas ke tahap pencapaian yang belum pernah berlaku sebelum ini," katanya pada sidang media prapelancaran Mihas 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Reezal berkata, Mihas edisi ke 20 ini unik kerana menyaksikan pengenalan 14 kluster baru termasuk kluster kelestarian dan kandungan bahan halal.

Menurutnya, pengantarabangsaan Mihas adalah satu inisiatif untuk membawa jenama itu kepada tahap yang lebih tinggi serta menarik pelbagai peserta dan pembeli terutamanya dari pasaran Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika.

Beliau berkata, Mihas @Dubai turut menerima penyertaan dari 45 negara seluruh dunia dengan membabitkan lebih 2,000 pempamer dan jangkaan kira-kira 40,000 pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:16 PM