BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Bhd bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 meningkat kepada RM424.01 juta daripada RM417.68 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023.

Perolehan pula melonjak 16.6 peratus kepada RM1.91 bilion daripada RM1.64 bilion bagi tempoh sama, didorong jumlah transaksi dan jumlah pembiayaan yang dicatatkan meningkat 16.9 peratus kepada RM7.3 bilion berbanding angka pada tahun kewangan 2023, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Keuntungan bersih Aeon Credit meningkat kepada RM118.92 juta bagi suku keempat berakhir pada 29 Februari 2024 daripada RM95.34 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023.

Sementara itu, perolehan melonjak kepada RM501.57 juta daripada RM432.66 juta bagi tempoh sama.

Menurutnya, perolehan lebih tinggi sebanyak 15.9 peratus itu dipacu terutama oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan lebih kukuh.

Aeon Credit menjelaskan bahawa pembiayaan kasar belum terima setakat pada 29 Februari 2024 sebanyak RM12.232 bilion, meningkat sebanyak RM1.397 bilion daripada angka pada 28 Februari 2023.

Pembiayaan bersih belum terima selepas peruntukan bagi kerugian rosot nilai ialah RM11.536 bilion, berbanding RM10.049 bilion pada 28 Februari 2023.

Syarikat itu memaklumkan bahawa nisbah pinjaman tidak berbayar berkurangan kepada 2.57 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2024 daripada 2.89 peratus pada suku sama tahun kewangan sebelumnya susulan tindakan positif yang dilaksanakan.

"Pendapatan lain bagi suku semasa adalah sebanyak RM47.144 juta terutama disumbangkan oleh pemulihan hutang lapuk," tambahnya.

Mengenai prospek, syarikat itu menjangkakan dapat mengekalkan momentum perniagaan dengan melaksanakan langkah yang sesuai bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025, jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 11:36 AM