GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) turun kepada RM378.37 juta dalam suku pertama berakhir 30 Jun, 2023 (Suku Pertama Tahun Kewangan 2024) daripada RM410.39 juta tahun sebelumnya di tengah-tengah peningkatan mendadak caj rosot nilai bersih berikutan peruntukan tinggi.

Hasil, bagaimanapun meningkat kepada RM1.2 bilion daripada RM1.15 bilion.

Caj rosot nilai bersih berjumlah RM190.4 juta semasa suku berkenaan berbanding RM63.9 juta pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata AmBank Group berjaya menangani pemampatan margin faedah bersih dan mengukuhkan kecairannya dengan nisbah modal terus meningkat pada suku pertama.

Operasi berterusan mencatatkan pertumbuhan 11.2 peratus tahun ke tahun dalam jumlah pendapatan, didorong oleh peningkatan 67.8 peratus dalam pendapatan bukan faedah (NoII), diimbangi sedikit oleh pengurangan 2.7 peratus dalam pendapatan faedah bersih (NII).

"Pertumbuhan kukuh NoII daripada operasi berterusan didorong oleh keuntungan dagangan dalam sekuriti, yuran yang lebih tinggi yang diperoleh daripada perbankan perniagaan, perbankan pelaburan dan pengurusan aset, serta pendapatan yang lebih baik daripada insurans hayat dan am.

"Keuntungan RM51.1 juta lagi daripada pelupusan perniagaan insurans am kami telah direkodkan. NII susut sebanyak 6.3 peratus disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih (NIM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 4:16 PM