Cawangan Affin Bank di Kuala Lumpur.
Cawangan Affin Bank di Kuala Lumpur.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Affin Bank Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 susut kepada RM113.23 juta daripada RM146.91 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2022.

Perolehan berkurangan kepada RM504.86 juta daripada RM579.19 juta bagi tempoh yang sama, menurut bank itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama 2023, keuntungan bersih juga turun kepada RM262.205 juta daripada RM289.59 juta yang direkodkan pada tempoh sama 2022, terutama disebabkan pemampatan margin faedah bersih (NIM).

Pendapatan faedah bersih (NII) pula berjumlah RM436.2 juta, susut RM51.9 juta atau 10.6 peratus daripada RM488.1 juta pada tahun kewangan sebelumnya, ekoran kos dana yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023.

"Perbelanjaan operasi berkurangan sedikit kepada RM646.4 juta bagi tempoh berakhir 30 Jun, 2023 daripada RM690.8 juta pada tahun sebelumnya.

"Syarikat mencatatkan pertumbuhan konsisten, yang digambarkan oleh portfolio pinjaman dan pembiayaan kami yang meningkat kepada RM62.5 bilion pada separuh pertama 2023, menunjukkan kenaikan memberangsangkan sebanyak 12.7 peratus daripada RM55.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya," jelasnya.

Affin memaklumkan sehingga 30 Jun 2023, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pula mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 1.78 peratus berbanding 2.28 peratus setakat 30 Jun 2022, terendah dalam tempoh lima tahun lepas.

Nisbah perlindungan mudah tunai kekal baik pada 203 peratus pada separuh pertama 2023, jauh melebihi keperluan yang ditetapkan pihak kawal selia sebanyak 100 peratus.

"Kami gembira mengumumkan bahawa jumlah aset kami telah melebihi RM100 bilion, dengan melaporkan sebanyak RM100.9 bilion pada separuh pertama 2023 maka ini adalah peningkatan ketara tahun ke tahun sebanyak 16.4 peratus daripada RM86.7 bilion pada separuh pertama 2022," tambah Affin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata asas aset bank yang lebih besar adalah penting dalam memastikan keuntungan yang konsisten dan mampan apabila NIM kembali normal pada 2024 dan tahun-tahun seterusnya.

"Menjelang September 2023, pelanggan kami akan menikmati pengalaman yang dinaik taraf secara ketara susulan pengenalan Aplikasi Mudah Alih Perbankan Runcit di pasaran untuk merealisasikan visi kami menjadi peneraju inovasi digital dalam industri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 4:16 PM