LOTUS’S Malaysia tawar diskaun sehingga 50 peratus sempena Ramadan dan raya untuk kira-kira 3,600 jenis barangan keperluan di bawah kempen Sama-Sama Riang Berganda.
LOTUS’S Malaysia tawar diskaun sehingga 50 peratus sempena Ramadan dan raya untuk kira-kira 3,600 jenis barangan keperluan di bawah kempen Sama-Sama Riang Berganda.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PELANGGAN Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) berpeluang untuk menyambut Ramadan dan juga Aidilfitri dengan penjimatan hebat sehingga 50 peratus untuk kira-kira 3,600 jenis barangan keperluan.

Promosi, ganjaran dan aktiviti di bawah tema Sama-Sama Riang Berganda itu dapat dinikmati oleh pelanggan bermula 29 Februari sehingga 24 April ini.

Pengarah Khidmat Korporat Lotus's Malaysia, Azliza Azmel berkata, 22 cawangan Lotus's akan mengadakan bazar dalam stor peruncit itu yang diperkenalkan sebagai Raya World.

Katanya, Hari Raya Aidilfitri satu perayaan terbesar di seluruh Malaysia dan kemeriahannya boleh dirasai semasa bulan puasa lagi.

"Ini kerana orang ramai akan bergegas untuk membeli-belah barangan keperluan seisi rumah bagi persiapan untuk perayaan raya yang bakal tiba.

"Disebabkan ramai yang semakin bimbang dengan kadar peningkatan kos sara hidup, kami ingin menawarkan harga barangan yang terbaik serta pelbagai rangkaian produk kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Lotus's turut menawarkan harga runtuh untuk barangan segar seperti RM1 untuk seekor ikan kembung atau cencaru, serta RM4 untuk seekor bawal hitam.

Beliau berkata, pelanggan juga dapat menikmati diskaun tambahan sebanyak 28 peratus untuk 200 rangkaian produk jenama Lotus's.

"Bagi mereka yang inginkan lebih penjimatan, kami juga menyediakan Jualan Rahmah Raya yang menawarkan diskaun sebanyak 40 peratus untuk peralatan dapur, alat tulis terpilih dan pakaian raya di 60 cawangan Lotus's.

"Bukan itu sahaja, kami juga menawarkan rangkaian Rahmah bagi pakaian seragam sekolah rendah dengan harga RM11.90 hingga RM22.90 di 44 cawangan kami.

"Semua 61 Medan Selera Lotus's juga terus menawarkan Menu Rahmah yang bernilai RM5," katanya.

Selain itu, buat julung kalinya, rangkaian Lotus's Ramadan dan Hari Raya menawarkan 18 jenis kurma seperti Safawi, Al-Madinah, Rabbie, Premium Lulu, Khenaizi, Dabbas, Mazafati, Medjool, Kurma Diraja Ajwa Aliyah dan Mariami, yang diimport dari Palestin, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Arab Saudi, Mesir dan Tunisia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 7:00 AM