FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Isu rizab berbaki negatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hanya mewakili satu daripada tiga komponen rizab gabungan yang tidak akan menjejaskan kestabilan kewangan badan dana persaraan itu.

LTAT dalam kenyataan memaklumkan, rizab negatif yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi Agensi Persekutuan 2022, Rabu lalu, hanya membabitkan Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI).

Selain Rizab OCI katanya, LTAT mempunyai dua lagi rizab gabungan membabitkan Keuntungan Tertahan dan Dana Rizab yang mencerminkan kestabilan kewangan LTAT.

"Dana Rizab terus kekal tidak berubah dan ditetapkan pada kadar dua peratus daripada baki akaun pencarum, lantas menyediakan asas kepada kestabilan kewangan.

"Rizab OCI pula terdiri daripada keuntungan atau kerugian terkumpul aset yang belum direalisasikan yang dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain), mencerminkan turun naik dalam pasaran dan prestasi aset.

"Justeru, walaupun Rizab OCI menunjukkan nilai defisit, baki bersih rizab gabungan pada akhir Tahun Kewangan 2022 adalah positif berjumlah RM160 juta, peningkatan daripada tahun sebelumnya," kata LTAT, hari ini.

Menurut LTAT, rizab gabungan pascadividen yang belum diaudit bagi Tahun Kewangan 2023 juga akan menunjukkan peningkatan sekali gus mencerminkan komitmen LTAT terhadap perjalanan transformasinya ke arah pengukuhan kedudukan kewangannya.

"Kedudukan Rizab Bersih yang positif ini membawa kepada Nisbah Solvensi Buku melebihi 100 peratus mengesahkan, Aset Bersih pada Nilai Buku melebihi jumlah caruman pencarum.

"Ini menandakan keupayaan LTAT untuk memberi dividen kepada semua pencarum," katanya.

Mengenai isu Keuntungan Bukan Tunai yang menyumbang kepada pendapatan bagi Tahun Kewangan 2022, LTAT menjelaskan, jika komponen Untung Bukan Tunai ini diasingkan, LTAT masih dapat mengekalkan kadar solvensi tidak kurang daripada tahap ambang minimum (threshold) sepertimana ditetapkan dalam Polisi Dividen.

"Sebagai sebuah dana persaraan, dividen yang diisytiharkan tidak membabitkan pengeluaran tunai secara terus dan hanya akan dikreditkan ke dalam akaun caruman ahli.

"Justeru, kedudukan kecairan LTAT kekal stabil, memastikan kami dapat memenuhi semua komitmen apabila diperlukan," katanya.

Katanya, LTAT kekal komited terhadap ketelusan, akauntabiliti dan kesejahteraan pencarum dan penerima manfaat.

"Kami akan terus berusaha untuk mencapai piawaian tertinggi tadbir urus, tatakelola dan pengurusan kewangan untuk menjaga kepentingan semua pihak berkepentingan.

"Dalam hal ini, LTAT akan berhubung dengan pihak berkepentingan berkaitan untuk menangani sebarang pertanyaan atau isu yang berkaitan dengan rizab dan atau perkara lain yang berkaitan dengan kemampanan dana," katanya.

Secara kesimpulannya, LTAT menjelaskan, rizab LTAT tertakluk kepada pengawasan rapi dan diuruskan mengikut keperluan kawal selia di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101).

"LTAT memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kedudukan kewangannya kekal teguh dan mampu memenuhi segala kewajipannya," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan, ia akan memanggil pengurusan LTAT bagi menyiasat isu rizab LTAT berbaki negatif selepas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Rabu lalu.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, PAC juga tidak menolak kemungkinan memanggil menteri pertahanan dalam prosiding itu yang dijadualkan selepas sambutan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 5:17 PM