Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM26 juta bagi tempoh enam bulan (1HFY24) dengan hasil sebanyak RM437.7 juta.

Dalam tempoh tiga bulan yang dikaji, hasil Kumpulan meningkat sebanyak 5.0 peratus kepada RM223.8 juta berbanding suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan dalam hasil pengiklanan.

Keputusan positif ini adalah hasil daripada penumpuan strategik Kumpulan pada pelan perniagaan tiga tahun yang didukung oleh tiga tonggak pertumbuhan: penambah baik kandungan, meningkatkan kualiti inventori, dan meneroka peluang pendapatan baharu.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata, kemampuan Kumpulan dalam menghadapi cabaran-cabaran industri adalah hasil daripada komitmen berterusan untuk terus memberikan nilai kepada pemegang saham.

"Kami akan terus mengukuhkan perniagaan dengan memanfaatkan populariti platform media dan jenama Kumpulan dalam kalangan pengiklan dan audiens.

"Walaupun berdepan cabaran, kami optimis tentang masa depan. Dengan momentum yang kukuh dan fokus yang jelas, kami yakin dengan kebolehan Media Prima untuk terus berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

SYED Hussian.
SYED Hussian.

Media Prima telah melaksanakan beberapa inisiatif utama di bawah pelan strategiknya berlandaskan kepada momentum ini.

Ia termasuk pelancaran aset papan iklan luar digital (Digital Tower Series) di Jalan Cheras oleh Big Tree, dan penukaran aset papan iklan luar statik sedia ada kepada digital di Persiaran Surian.

Ini selaras dengan keupayaan Big Tree untuk mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 7.0 peratus pada suku semasa berbanding suku sebelumnya.

Untuk sektor digital pula, Media Prima mencatatkan peningkatan ketara dalam pengikut digitalnya.

Kumpulan Media REV (REV) telah melepasi lebih 100 juta jumlah pengikut setakat Disember 2023, mengukuhkan kedudukan REV sebagai penerbit digital terkemuka negara.

Inisiatif-inisiatif yang telah diambil REV selama ini mampu untuk meningkatkan lagi keupayaan

dan jangkauan pengiklanan REV, memacu pertumbuhan hasil sebanyak 10 peratus pada suku semasa berbanding suku sebelumnya yang terdekat.

Selain dari fokus perniagaan teras, Media Prima juga meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial melalui pelbagai inisiatif.

Media Prima telah menyalurkan lebih RM1.9 juta hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Kemanusiaan Palestin, untuk membantu misi kemanusiaan di Palestin dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Mercy Malaysia, Malaysian Relief Agency dan Humanitarian Care Malaysia.

Sumbangan ini antara lain memperuntukkan perbelanjaan bagi makanan dan air bersih, bekalan perubatan penting serta tempat tinggal kepada ribuan yang terjejas akibat konflik di Palestin.

RAFIQ.
RAFIQ.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, pihaknya berbangga dengan prestasi dan kemajuan yang telah dicapai ke arah merealisasikan objektif pelan perniagaan Kumpulan.

"Usaha berterusan kami dalam penambah baik kandungan, meningkatkan kualiti inventori, dan meneroka peluang pendapatan baharu telah menunjukkan pencapaian yang menggalakkan, terutamanya dalam menjana pertumbuhan serta nilai untuk pemegang saham kami.

"Melangkah ke hadapan, Media Prima kekal komited untuk menyampaikan kandungan berkualiti tinggi dan merintis penyelesaian inovatif untuk kekal di hadapan dalam landskap media yang sentiasa berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 1:28 PM