SEJUMLAH 94,783 perniagaan telah didaftarkan di bawah SST.
SEJUMLAH 94,783 perniagaan telah didaftarkan di bawah SST.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan.

Menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019, terdapat dua jenis cukai berbeza di bawah SST yang ditadbir melalui perundangan berasingan iaitu Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Pelaksanaan SST yang baru ditambah baik untuk meminimumkan kelemahan berkaitan seterusnya meningkatkan kecekapan cukai di samping mengekalkan ciri utama SST sebelum ini.

Di Malaysia, cukai jualan hanya dikenakan di peringkat pengilang ke atas barangan bercukai. Cukai Jualan akan dikenakan ketika barangan bercukai itu dijual oleh pengilang berdaftar.

Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas penyediaan perkhidmatan bercukai di Malaysia oleh penyedia perkhidmatan berdaftar pada kadar standard enam peratus.

Bagi mempermudah dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan, penyelesaian yang lebih efisien telah disediakan bagi urusan permohonan untuk pendaftaran dan pengecualian ke atas input pembuatan yang sebelum ini dilaksanakan melalui pengisian Kini, semua permohonan untuk pendaftaran untuk pendaftaran dan pengecualian dilaksanakan secara dalam talian.

Menurut laporan berkenaan, langkah ini dilaksanakan berikutan maklum balas daripada pihak industri bahawa wujud birokrasi serta penyediaan kertas kerja yang merumitkan semasa pelaksanaan sistem SST terdahulu.

Di bawah SST baru, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan pendaftaran automatik bagi pengilang dan penyedia perkhidmatan yang layak melalui pemindahan data dari pangkalan data GST.

Sehingga 14 September 2018, sejumlah 94,783 perniagaan didaftarkan di bawah SST yang terdiri daripada 56,918 penyedia perkhidmatan dan 37,865 pengilang.

Pengisytiharan penyata cukai di bawah SST diselaraskan kepada dua bulan sekali berbanding secara bulanan ataupun suku tahunan semasa pelaksanaan GST.

Oleh itu, kos pematuhan perniagaan serta kos pentadbiran kepada kerajaan dijangka lebih rendah berikutan keseragaman dan proses yang lebih mudah.

Antara kebimbangan utama dalam SST adalah kemunculan semula ekonomi Namun demikian, risiko ini dapat dikurangkan dengan kewujudan pangkalan data perniagaan sedia ada serta perkongsian maklumat berterusan antara JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pengenalan semula SST akan memberi manfaat kepada perniagaan melalui kos pematuhan dan pentadbiran yang lebih rendah.

Di samping itu, SST baharu adalah lebih mesra perniagaan, kurang birokrasi dan dapat membantu pengurusan aliran tunai perniagaan.

Kerajaan terus komited untuk menambah baik pelaksanaan SST baharu demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem cukai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:50 PM