BERNAMA

Kuala Lumpur: Antler mengumumkan pusingan pelaburan bagi pembiayaan peringkat awal terbesarnya setakat ini di rantau ini berjumlah AS$5.1 juta (RM24.2 juta) kepada 37 syarikat pemula niaga di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia, kelmarin.

Menurut kenyataan pada Rabu, firma modal teroka peringkat awal global itu menjelaskan pelaburan itu juga menandakan permulaan komitmen dan jejak kewujudan Antler di Malaysia sebagai sebahagian perkongsian strategik bersama dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah Nasional Bhd.

Rakan Bersekutu dan Pengurus Negara Antler Malaysia, Frank Kang berkata, pihaknya melabur dalam tujuh syarikat pemula niaga daripada kohort Antler Malaysia iaitu Cleve, COEX, MessengerCo, PingMi, Seafoody, UniiD dan Zappy.

"Menerusi pertandaan pusingan pertama pelaburan kami di Malaysia, kami teruja dengan potensinya. Kepelbagaian dan kaliber syarikat pemula niaga menunjukkan peningkatan pengaruh negara ini sebagai peserta utama dalam landskap keusahawanan serantau," katanya dalam kenyataan sama.

Menurut Antler, pelaburan dalam pusingan itu juga menandakan jumlah tawaran tertinggi bagi pembiayaan peringkat awal untuk seluruh rantau ini, sekali gus menunjukkan komitmennya dalam menyokong generasi usahawan teknologi baharu Asia Tenggara akan datang.

Semua portfolio syarikat pemula niaga itu merangkumi 19 sektor meliputi kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan, penyedia perisian sebagai perkhidmatan perniagaan kepada perniagaan (B2B SaaS) serta penjagaan kesihatan untuk menangani masalah khusus di setiap rantau.

Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi Pengurusan Asia, Antler, Jussi Salovaara berkata, sebagai pelabur bagi pelbagai peringkat, pihaknya mengenal pasti potensi besar yang dimiliki syarikat pemula niaga di Asia Tenggara. - Bernama

"Dalam tempoh penting ini, kami memberi tumpuan khusus untuk membantu pengasas mewujudkan asas kukuh bagi model perniagaan yang mapan selain memupuk inovasi jangka panjang dalam ekosistem teknologi global yang lebih luas," katanya.

Susulan dengan rekod lebih 5,000 permohonan bagi pusingan kali ini, Antler secara konsisten menyokong lebih 1,000 syarikat pemula niaga di seluruh dunia, sejak dilancarkan pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:10 AM