Nestlé kini memiliki 23 pemecut R&D di seluruh dunia.
Nestlé kini memiliki 23 pemecut R&D di seluruh dunia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nestlé SA melancarkan inisiatif pemecut penyelidikan dan pembangunan (R&D) serantau baharu di Singapura yang menyediakan platform berkelas dunia untuk syarikat pemula niaga, penuntut warga kerjanya membangunkan dan menguji konsep baru dalam tempoh enam bulan.

Pelancaran itu bersempena ulang tahun ke-40 pusat R&D Nestlé di Singapura.

Ketua Pembangunan Produk dan Teknologi Global, Thomas Hauser berkata, peserta inisiatif itu akan memperoleh akses kepada kepakaran R&D, ruang kerja bersama serta peralatan pengeluaran berskala kecil dan sederhana Nestlé untuk memudahkan peningkatan skala produk yang pesat bagi pelancaran ujian dalam situasi pasaran sebenar.

Beliau berkata pemecut R&D serantau di Singapura merupakan sebahagian daripada inisiatif pemecut R&D global Nestlé yang kali pertama dilancarkan di Nestlé Research yang terletak di Lausanne, Switzerland pada 2019 dan kini mempunyai 23 lokasi di seluruh dunia.

"Pusat R&D kami di Singapura mempunyai sejarah pembangunan produk inovatif yang panjang bagi Asia Tenggara, yang diinspirasikan daripada kepelbagaian budaya dan masakan tempatan yang berbeza.

"Usaha menaik taraf pusat ini dengan kemudahan canggih termasuk pemecut R&D baharu itu membuktikan komitmen jangka panjang kami terhadap rantau ini," katanya pada pelancaran pusat itu secara maya pada Isnin.

Beliau berkata pihaknya yakin langkah memperkukuh keupayaan pusat itu akan mempercepat lagi kadar inovasi luar biasa bagi produk berasaskan sains di seluruh peringkat kehidupan.

Ketika ditanya mengenai pelaburan keseluruhan bagi pusat itu, Hauser enggan mendedahkan jumlah pelaburan bagi setiap lokasi namun menjelaskan Nestlé telah melabur lebih 1.6 bilion franc Switzerland (kira-kira RM7.37 bilion) bagi semua pusat itu.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé bagi Asia, Oceania dan Afrika Sub-Sahara, Chris Johnson berkata, Asia Tenggara merupakan rantau paling penting bagi Nestle dalam lingkungan zon tersebut yang mewakili satu pertiga daripada jualan keseluruhannya.

Beliau berkata Asia Tenggara merupakan rantau yang dinamik dan menarik dengan begitu banyak peluang untuk pertumbuhan.

"Sebab itu kami amat menghargai rantau ini. Semua makanan bersifat tempatan. Jika mahu berjaya dalam perniagaan, anda perlu benar-benar memahami citarasa yang digemari warganya, makanan yang mereka mahu dihidangkan kepada keluarga selain trend makanan yang mereka ingin cuba.

"Justeru, penting untuk mempunyai pasukan R&D di Singapura, di sini nadi Asia Tenggara, pusat kecemerlangan yang memacu inovasi dan pembangunan produk di Asia untuk Asia," katanya.

Sebagai tanda ulang tahun pusat itu, Nestlé menaik taraf pusat berkenaan dengan melengkapkannya dengan makmal canggih, dapur eksperimen, ujian pengguna, bilik penilaian deria, ruang kerja terbuka serta hab penyelidikan asas Nestlé untuk membolehkan perubahan pantas sains penemuan kepada produk berkhasiat, cita rasa hebat untuk semua orang di seluruh peringkat kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 1:25 PM