SEBAHAGIAN daripada  ahli NUTP yang akan mengerjakan umrah  berkumpul di KLIA, semalam. FOTO Samadi Ahmad.
SEBAHAGIAN daripada ahli NUTP yang akan mengerjakan umrah berkumpul di KLIA, semalam. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Sepang: Persatuan kakitangan kerajaan dan badan berkanun disaran menyertai pakej pembiayaan peribadi patuh syariah bagi tujuan umrah dan ziarah di bawah konsep 'Murabahah Tawarruq' (umrah dahulu bayar kemudian).

Langkah ini bertujuan membantu lebih ramai ahlinya khususnya golongan muda untuk menunaikan ibadah itu.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) Datuk Md Daud Che Ngah berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bersedia menyediakan perkhidmatan dan kos terbaik.

Beliau berkata, ini kerana Andalusia bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata, malah misi syarikat adalah membantu dan memudahkan jemaah menunaikan umrah.

Menurutnya, Andalusia mempunyai lebih 30 tenaga pembimbing mahir dan berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang memilih perkhidmatannya.

Katanya, sebagai contoh, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang memilih syarikat Andalusia untuk program pertamanya untuk umrah.

"Sepatutnya, pada musim cuti persekolahan ini, caj dikenakan adalah melebihi RM10,000 bagi setiap individu, namun mereka hanya dikenakan caj sebanyak RM8,625 termasuk pakej penerbangan, hotel dan makanan sepanjang mengerjakan umrah," katanya

Beliau berkata kepada pemberita ketika meninjau penerbangan ahli NUTP mengerjakan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Seramai 71 ahli NUTP menyertai rombongan umrah itu. Ia turut disertai Presidennya, Aminuddin Awang.

Setakat ini, pakej 'Murabahah Tawarruq' ini disediakan oleh sebuah agensi perbankan tempatan di bawah kerajaan.

Pakej pembiayaan ini juga membolehkan orang ramai yang layak mengikut syarak untuk mengerjakan umrah dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh.

Sementara itu Aminuddin berkata, beliau tertarik saranan diperkenalkan Md Daud itu dan akan membincangkannya di peringkat persatuan, pada awal tahun depan.

Menurutnya, sekiranya dipersetujui, NUTP akan mengadakan kerjasama dengan pihak Andalusia dan inisiatif ini dapat membantu lebih ramai ahlinya untuk mengerjakan umrah di masa depan.

Katanya, program umrah bersama Andalusia ini adalah projek pertama NUTP dan memilihnya kerana yakin dengan perkhidmatan yang diberikan syarikat itu kepada jemaah sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 10:18 AM