BERNAMA

Kuala Lumpur: Maybank dan Sime Darby Property menjalin kerjasama strategik untuk menawarkan pembiayaan dan kelulusan rumah dalam tempoh 10 saat kepada pembeli yang layak.

Dalam satu kenyataan bersama, Maybank dan Sime Darby Property berkata, kerjasama itu menggabungkan platform pembiayaan Maybank Home2u ke dalam sistem tempahan dalam talian (OBS) Sime Darby Property, menjadikan pengalaman memiliki rumah impian lebih lancar bagi rakyat Malaysia.

Pembeli berpotensi boleh menyemak kelayakan mereka dan memohon pembiayaan rumah serta-merta melalui Maybank Home2u. Setelah layak, mereka akan menerima kelulusan dalam masa 10 saat dan diberikan surat tawaran dalam tempoh satu jam selepas membuat tempahan menerusi OBS.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property Datuk Lai Shu Wei berkata, kempen itu peluang terbaik bagi pembeli yang mencari pembangunan hartanah berkualiti tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Datuk John Chong berkata, kerjasama itu sejajar dengan misi kemanusiaan Maybank untuk menyediakan penyelesaian yang berpusatkan pelanggan dan mampan di samping memastikan pengalaman lancar untuk pembeli rumah.

Beliau berkata, Maybank juga menawarkan rangkaian perkhidmatan lengkap, termasuk terma pembayaran balik yang fleksibel supaya sesuai dengan bajet pembeli, dan penyelesaian untuk pengubahsuaian kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 11:23 AM