PEMBELI kebanyakannya dari Lembah Klang dan kawasan sekitar.
PEMBELI kebanyakannya dari Lembah Klang dan kawasan sekitar.

PELBAGAI kempen dalam talian oleh Sime Darby Property dari 25 Mac hingga 5 Julai lalu sudah meraih 740 tempahan untuk hartanah di Lembah Klang dan Johor bernilai RM680 juta.

Pembeli kebanyakannya dari Lembah Klang dan kawasan sekitar dan ada juga dari China menurut syarikat itu dalam kenyataan semalam.

Trafik di laman webnya tinggi sepanjang kempen itu dengan purata lebih dua kali daripada jumlah biasa walaupun galeri jualan ditutup atau beroperasi pada separuh kapasiti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kempen dalam talian yang pertama dan mendapat sambutan baik itu adalah Online Guided Sales Experience yang memberikan pengalaman jualan maya yang menyeluruh kepada pembeli rumah daripada mencari prospek kepada tempahan melalui saluran digital.

Kempen itu menyediakan kit jualan dalam talian yang khusus untuk memberikan semua maklumat produk yang diperlukan kepada pembeli rumah, tinjauan produk 360 darjah secara maya untuk melihat sesebuah unit itu dengan lebih baik, tempahan dan pembayaran dalam talian.

Dua kempen lain dilancarkan untuk memperkenalkan lebih banyak tawaran hebat untuk projek terpilih, memanfaatkan moratorium ke atas bayaran balik pinjaman enam bulan oleh kerajaan.

"Kempen dalam talian yang berjaya itu menunjukkan Sime Darby Property dapat melaksanakan pendigitalan dan menyesuaikan dengan landskap operasi yang berubah," kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Azmir Merican.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 7:10 AM