PROJEK rumah berkembar dua tingkat yang dibangunkan oleh Sime Darby Property.
PROJEK rumah berkembar dua tingkat yang dibangunkan oleh Sime Darby Property.
Syarifah Dayana

Syed

Kuala Lumpur: Sime Darby Property Bhd mencatatkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM572 juta menerusi tempahan 662 unit hartanah kediaman di 14 perbandaran miliknya melalui kempen Siap, Sedia, Raya yang diadakan pada 15 April hingga 31 Mei 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, rancangan pelancaran taktikal pihaknya serta insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2021 yang dijalankan kerajaan menjadi gabungan baik bagi kempen itu.

"Faktor sokongan lain seperti kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan penghapusan 70 peratus margin had pembiayaan bagi hartanah kediaman ketiga juga menyumbang kepada kejayaan kempen ini.

"Pencapaian ini susulan kadar pembelian lebih 90 peratus yang kami catat sejak awal tahun ini. Strategi jualan dan rancangan pemasaran dalam menawarkan produk yang sesuai dengan keperluan lokasi serta jualan pada harga yang tepat juga terbukti berkesan.

"Menerusi lanjutan HOC yang diumumkan kerajaan, kami menantikan sambutan yang sama untuk pelancaran akan datang sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, berdasarkan aliran pembelian pelanggan, pihaknya menjangkakan permintaan terhadap produk kediaman bertanah semakin meningkat dan Sime Darby Property berusaha untuk memenuhi kehendak pelanggan menerusi produk baharu dan sedia ada.

Katanya, pelancaran terbaharu iaitu hartanah kediaman berstatus pegangan bebas terbukti popular dalam kalangan pembeli rumah dengan 187 unit Elmina Green Four bernilai RM144 juta dan 32 unit Hevea fasa dua bernilai RM67 juta telah terjual di City of Elmina, Shah Alam.

Senada Residences dan East Residence Courtyard Villa di KLGCC Resort masing-masing mencatatkan tempahan jualan bernilai RM19 juta dan RM14 juta manakala kediaman berperkhidmatan, The Ridge di KL East pula merekodkan tempahan jualan sebanyak 46 unit dengan nilai RM32 juta.

Koridor Selatan juga menjadi lokasi popular dalam kalangan pembeli rumah dengan nilai tempahan jualan sebanyak RM25 juta bagi 18 unit di Planters' Haven, Negeri Sembilan serta 19 unit Harmoni Permai di Bandar Universiti Pagoh, Johor sepanjang kempen itu dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 9:58 AM