BILIK permainan turut disediakan untuk penghuni.
BILIK permainan turut disediakan untuk penghuni.
Hafiz Ithnin


SIME Darby Property, menerusi projek kediaman bertingkat Maya Ara Residence di Ara Damansara, Selangor menerima sambutan positif apabila 90 peratus unit terjual sehari selepas pelancarannya secara maya baru-baru ini.

Dengan keluasan binaan 764 kaki persegi (KPS), Jenis B dan B1 Maya Ara Residences mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik mandi, manakala Jenis C berkeluasan 1,055 kps mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Harga jualan bermula dari RM594,800 seunit.

Prestasi itu menunjukkan produk hartanah pemaju itu tidak lagi hanya bergantung kepada pelancaran secara fizikal.

Pembeli turut disediakan kemudahan mengikuti acara berkenaan melalui Facebook Live sebelum meneruskan pendaftaran pembelian dengan lancar melalui Sistem Tempahan Dalam Talian (OBS) Sime Darby Property yang dibangunkan secara dalaman.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Azmir Merican berkata, projek berkenaan menarik permintaan tinggi meskipun sebelum pelancaran. Sekali gus, membuktikan kredibiliti syarikat dalam menawarkan produk yang sedang dalam permintaan, di lokasi dan titik harga yang betul.

"Banyak penyelidikan dilakukan dalam menghasilkan Maya Ara Residences untuk disesuaikan dengan trend gaya hidup masa kini dan masa depan.

"Pembeli rumah akan dapat mereka bentuk rumah mereka dengan kami yang boleh disesuaikan dengan pakej serba lengkap yang menyediakan empat tema reka bentuk dalaman yang berbeza," katanya.

RUANG menunggu yang mewah.
RUANG menunggu yang mewah.

Jelasnya, pembangunan ini menyuntik nafas baharu kepada perbandaran Ara Damansara sedia ada, menarik minat generasi muda dan pembeli rumah kali pertama yang ingin membuat sesuatu yang baik untuk pelaburan masa hadapan.

Maya Ara Residences menawarkan reka bentuk kontemporari dan serba boleh dengan pembangunan mampan yang mematuhi GreenRE.

Jelasnya, susun atur pelan yang terbuka mempromosikan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi yang mencukupi serta ciri-ciri yang menggalakkan penjimatan tenaga dan penggunaan air yang cekap.

"Kemudahan di Maya Ara Residences direka untuk pelbagai kegunaan dengan dewan majlis yang boleh dijadikan sebagai ruang kerja bersama, bilik permainan dengan skrin hijau untuk rakaman video, kawasan barbeku komuniti untuk mempromosikan interaksi penduduk, gimnasium dan banyak lagi.

"Pembangunan ini juga mudah diakses melalui tiga lebuh raya utama dan terletak berhampiran dengan pelbagai kemudahan dan ameniti," katanya.

Katanya, pelanggan menikmati pengalaman membeli rumah yang mudah dan lancar dengan pembangunan dalaman yang secara OBS yang membolehkan mereka memilih dan menempah unit mereka tanpa sebarang masalah.

"OBS ialah kemuncak kepada usaha pendigitalan Sime Darby Property untuk pengguna bagi memastikan konsisten dalam libat urus dengan pelanggan ketika wabak dan dalam normal baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 7:00 AM