INCLUSIVE Playground merupakan  taman permainan inklusif pertama di Malaysia.
INCLUSIVE Playground merupakan taman permainan inklusif pertama di Malaysia.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Sime Darby Property Berhad dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memperkenalkan Inclusive Playground iaitu taman permainan inklusif pertama di Malaysia sempena Hari Diskriminasi Sifar.

Inclusive Playground ini, terletak di perbandaran Sime Darby Property yang sudah memenangi pelbagai anugerah iaitu City of Elmina.

Ia direka bentuk dengan kerjasama kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dan bukan OKU, ibu bapa, penjaga di samping pakar teknikal seperti pertubuhan OKU, pengamal intervensi awal dan pendidik.

Dengan kelulusan serta sokongan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), taman permainan ini mencerminkan penerapan Prinsip Reka Bentuk Sejagat dan Piawaian Malaysia 1184 dalam pembangunan ruang awam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Perbandarannya, Appollo Leong berkata, Sime Darby Property merancang untuk membina lebih banyak taman permainan inklusif di perbandaran dan pembangunannya di seluruh Malaysia, dalam masa terdekat.

Katanya, syarikat itu mereka bentuk dan membina taman permainan inklusif pertama negara di perbandaran itu sebagai projek perintis.

"Kami ingin menggabungkan sebanyak yang mungkin apa yang kami pelajari daripada Unicef sebagai rakan kongsi kami.

"Setiap kanak-kanak ada hak yang sama bermain dan menikmati aktiviti luar, dan taman permainan inklusif ini akan merealisasikannya," katanya di majlis pelancaran Inclusive Playground secara maya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:30 AM