FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Harga beras di pasaran global turun sedikit daripada paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, demikian menurut CGS-CIMB Research.

Ahli Ekonominya, Nazmi Idrus, berkata, harga beras putih lima peratus hancur Thailand susut kepada AS$612 satu tan pada 20 September, berbanding kemuncak AS$648 satu tan pada 9 Ogos lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata harga beras masih lagi tinggi berbanding purata pada tahun lalu iaitu AS$437 satu tan.

"Di peringkat domestik, kerajaan telah meningkatkan usaha untuk menjamin kestabilan bekalan dan harga untuk pengguna, termasuk meningkatkan lebih banyak pengeluaran tempatan, membuat pemeriksaan rawak di pemborong dan mengehadkan pembelian peniaga.

"Begitupun, kami merasakan bahawa penarikan larangan eksport oleh India akan menjadi penting untuk menurunkan dengan ketara harga beras global," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Nazmi berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Persatuan Pengeksport Beras India bahawa jumlah hujan mencukupi dan hasil menuai yang baik bagi musim luruh setakat ini akan meningkatkan situasi bekalan dan membolehkan larangan itu ditarik menjelang Disember ini.

Katanya, Malaysia ketika ini mempunyai stok beras sebanyak 900,000 tan bersamaan dengan bekalan untuk empat hingga lima bulan.

"Secara keseluruhan, impak kenaikan harga beras masih boleh diabaikan terhadap pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) memandangkan wajarannya hanyalah 1.1 peratus. Justeru, kami mengekalkan unjuran IHP bagi 2023 pada 2.8 peratus tahun ke tahun dan unjuran bagi 2024 pada 2.5 peratus tahun ke tahun," kata Nazmi.

Sementara itu, beliau berkata IHP di Malaysia tidak berubah pada 2.0 peratus bulan lalu, dengan IHP teras terus susut pada 2.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2.8 peratus pada Julai.

"Harga beras merekodkan pertumbuhan paling tinggi 3.0 peratus, kenaikan tertinggi bagi subkomponen itu sejak 2008. Ini kebanyakannya berikutan larangan eksport oleh India sejak Julai lalu," katanya.

Nazmi berkata, satu lagi perkembangan adalah kenaikan yang terhad tetapi ketara dari segi kos elektrik iaitu sebanyak 2.0 peratus pada Ogos.

"Kami merasakan ini adalah disebabkan oleh pengumuman kerajaan berhubung subsidi tarif elektrik lebih bersasar berkuatkuasa pada bulan Julai lalu yang menyaksikan satu peratus pengguna mencatatkan purata peningkatan 25 peratus bil elektrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 8:39 AM