IZHAM
IZHAM

Kuala Lumpur: Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), Malaysia Aviation Group (MAG) menetapkan sasaran untuk mempelbagaikan kira-kira 30 peratus daripada perniagaan bukan penerbangannya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang untuk memastikannya berdaya tahan.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kumpulan itu mengorak langkah yang membanggakan untuk pulih daripada cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu pandemik Covid-19.

"Kami berjaya mengekalkan kedudukan positif tunai kami selama 21 bulan berturut-turut sejak Oktober 2021 dengan baki tunai yang semakin meningkat mencecah RM5 bilion.

"Masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan MAG kekal fokus ke arah mencapai pulangan modal tahun ini," katanya pada sidang media sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini, baru-baru ini.

Pameran itu berakhir Ahad lalu.

Izham berkata, selepas penstrukturan semula semasa pandemik digabungkan dengan peralihan strategi untuk memberi tumpuan kepada hasil lebih tinggi di pasaran antarabangsa, MAG kini berada dalam kedudukan yang baik untuk membuat beberapa pelaburan utama yang tidak dapat dilakukannya pada masa lalu.

Beliau berkata, ia termasuk meningkatkan pengalaman pelanggan untuk memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah; memanfaatkan perkongsian untuk mengembangkan jangkauan rangkaian dan penawaran produk kami; mengekalkan disiplin kewangan dengan sasaran jelas dan pengurusan prestasi ketat; meningkatkan prestasi kakitangannya untuk memastikan tenaga kerjanya kekal tangkas berdaya tahan terhadap sebarang kejutan ekonomi serta menggabungkan amalan kemampanan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentas perniagaan.

Izham berkata, seiring dengan aspirasinya untuk menjadi kumpulan perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka di Asia berpandukan kepada Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0, MAG kekal kukuh dalam melaksanakan peranannya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pelancongan untuk Malaysia.

"Kumpulan itu dijangka membawa 20 juta penumpang setiap tahun dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus menyokong pertumbuhan industri pelancongan di Malaysia.

"Pada peringkat yang lebih luas, operasi MAG juga dijangka menjana lebih RM73 bilion dalam penggandaan ekonomi dan menyokong sekitar 79,000 tambahan pekerjaan untuk ekonomi yang lebih luas setiap tahun, justeru industri penerbangan turut menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan makanan dalam penerbangan MAG, Izham berkata, Pos Aviation, Mas Awana dan enam pembekal lain akan membekalkan makanan untuk syarikat penerbangan itu selepas sambungan kontrak dengan Brahim's Food Services (BFS) tamat pada 31 Ogos,2023.

Mengenai pengambilalihan BFS, beliau tidak dapat mendedahkan butirannya kerana MAG sudah memeterai perjanjian tidak mendedahkan (NDA) dengan pihak berkaitan berhubung baki 70 peratus kepentingan dalam BFS.

MAG memiliki 30 peratus kepentingan dalam BFS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 7:02 AM