Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kenaikan kadar cukai perkhidmatan dari enam kepada lapan peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 tidak akan memberi impak terhadap kenaikan harga sektor industri.

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (Miti), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana pengecualian cukai sudah diberikan kepada sektor makanan dan minuman (F&B) serta logistik.

Katanya, industri perlu faham mengenai keperluan kerajaan (membabitkan cukai).

"Kami sebagai pembuat polisi akan melihat kekurangan dan kelebihan mengenai perkara ini serta kita perlu mencapai keseimbangan yang tepat.

"Kita juga mempunyai tanggungjawab fiskal, parlimen dan kepada rakyat untuk mencapai pertumbuhan yang mampan.

"Oleh itu, kami tidak melihat impak kenaikan cukai perkhidmatan ini akan menyebabkan kenaikan harga terhadap industri.

"Apa pun impaknya, disebabkan itu kerajaan mengecualikan kenaikan cukai perkhidmatan terhadap sektor F&B dan logistik.

"Kami akan tunggu dan memantau keputusan mengenai kenaikan cukai perkhidmatan ini," katanya kepada media selepas sesi Dialog Meja Bulat NIMP 2030: Mencorak Pelaburan dan Pertumbuhan Lestari Malaysia anjuran Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa.

Sementara itu, mengenai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Tengku Zafrul berkata, pihaknya menyambut baik peruntukkan sebanyak RM200 juta dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, dengan peruntukkan itu ia dapat memberi fokus mencapai NIMP 2030 sekali gus sebagai pemangkin untuk memacu misi NIMP 2030.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga optimis untuk mencapai pertumbuhan pelaburan lebih kukuh tahun depan serta mengekalkan prestasi momentum pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang direkodkan tahun ini.

"Kita berjaya mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM132 bilion untuk enam bulan pertama 2023 dengan separuh daripada jumlah itu disumbangkan oleh DDI.

"Disebabkan itu sangat penting untuk kita membangunkan dan menyokong ekosistem tempatan dan NIMP 2030 antara pemangkinnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 9:11 PM
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas sesi dialog meja bulat NIMP 2030: Curating Malaysia's Sustainable Investments & Growth di Hotel St. Regis Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas sesi dialog meja bulat NIMP 2030: Curating Malaysia's Sustainable Investments & Growth di Hotel St. Regis Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH