MIZAN (dua dari kanan) pada majlis Pelancaran Al-Awfar Baharu dan Penyampaian Hadiah Utama Akaun Al-Awfar.
MIZAN (dua dari kanan) pada majlis Pelancaran Al-Awfar Baharu dan Penyampaian Hadiah Utama Akaun Al-Awfar.

Putrajaya: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyasarkan pertumbuhan saiz dana RM1 bilion dan peningkatan 400,000 pelanggan baharu produk Al-Awfar menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan - Perbankan Runcit Kumpulan Bank Islam Mizan Masram berkata, selepas 15 tahun berada di pasaran, Al-Awfar menerima sambutan menggalakkan dengan merekodkan saiz dana lebih RM5 bilion menerusi 1.2 juta akaun setakat Jun lalu.

"Kami yakin sasaran itu mampu dicapai disokong produk Al-Awfar yang ditambah baik dan kempen promosi secara jerayawara yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara.

"Penambahbaikan ini merupakan penghargaan kami kepada pelanggan atas sokongan padu dan memberangsangkan terhadap Bank Islam dan Al-Awfar selama ini," katanya selepas Majlis Pelancaran Al-Awfar Baharu dan Penyampaian Hadiah Utama Akaun Al-Awfar.

Mizan berkata, antara pembaharuan dan penambahbaikan dibuat bagi produk Al-Awfar Baharu - Wow! Banyaknya! ialah jumlah hadiah ditawarkan meningkat kepada RM18 juta setahun berbanding RM15 juta sebelumnya.

Selain itu, sebanyak 15 kategori cabutan disediakan berbanding lima sebelum ini, dengan antara hadiah yang ditawarkan termasuk RM1 juta untuk empat orang pemenang, satu kilogram jongkong emas, dua motosikal Harley Davidson, sebuah kereta BMW dan dua Honda HRV.

Mizan berkata orang ramai yang berminat untuk memenangi hadiah ditawarkan hanya perlu membuka akaun Al-Awfar di mana-mana cawangan Bank Islam dengan deposit hanya serendah RM100.

Pelanggan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dengan mengekalkan baki purata RM1,000 dalam akaun Al-Awfar mereka.

Al-Awfar merupakan satu produk akaun pelaburan di bawah Bank Islam yang berisiko rendah dan inovatif berdasarkan konsep Mudharabah.

Dana Al-Awfar dilaburkan dalam portfolio Pembiayaan Rumah dan Aset Tetap (HFA) sedia ada Bank Islam untuk memastikan pelaburan yang mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 6:00 AM