MOHAMED Iran Morrif (kanan) bersama pemenang cabutan Jutawan Al-Awfar Bank Islam, Ikmal Zikri Ismail (tengah).
MOHAMED Iran Morrif (kanan) bersama pemenang cabutan Jutawan Al-Awfar Bank Islam, Ikmal Zikri Ismail (tengah).

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyasarkan peningkatan saiz dana bagi akaun Al-Awfar Baharu kepada RM800 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Morrif Mohd Shariff berkata, kempen Al-Awfar Baharu mencatatkan sambutan memberangsangkan di mana setakat ini ia mencapai saiz dana bernilai RM197 juta dengan 89,045 akaun.

“Malah, kami juga menjangkakan untuk mencapai 230,000 pelanggan baharu pada tahun ini,” katanya, semalam.

Menurutnya, Al-Awfar Baharu menampilkan penambahbaikan kepada produk Al-Awfar pertama yang dilancarkan 10 tahun lalu.

“Akaun ini adalah satu produk pelaburan yang inovatif dan unik kerana ia bercirikan akaun simpanan di mana pelanggan boleh membuat pengeluaran tunai pada bila-bila masa.

“Susulan pelancaran Al-Awfar Baharu pada 16 April 2019, akaun ini menyediakan Lebih Hadiah, Lebih Peluang, Lebih Pemenang.

“Hanya pada tahun ini, nilai hadiah ditambah daripada RM10 juta kepada lebih RM14 juta,” katanya.

Katanya, menerusi akaun Al-Awfar Baharu, lebih 10,000 pemenang bakal memenangi hadiah lebih lumayan berbanding 628 hadiah setahun yang disediakan sebelum ini.

“Ia juga akan membabitkan 31 pemenang di setiap negeri setiap bulan, tidak termasuk hadiah suku tahunan dan undian istimewa.

“Penganjuran Kempen Al-Awfar adalah satu wadah bagi Bank Islam menzahirkan penghargaan di atas sokongan pelanggan selama ini, di samping menyediakan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Akaun Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah, yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio Pembiayaan Perumahan dan Aset Tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 11:00 AM