GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tahun ini bukan sahaja menjadi tahun pemulihan penting bagi Malaysia, tetapi juga peluang bagi banyak industri untuk melakukan pembaharuan.

Pengurus Negara iProperty Sheylndra Nathan berkata, seperti dijangkakan, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 1.75 peratus memandangkan ekonomi negara terus pulih.

Katanya, selain itu kadar vaksinasi di Malaysia adalah tinggi dalam kalangan orang dewasa iaitu lebih daripada 62 peratus, dan lebih daripada 24 peratus untuk kanak-kanak, dan dengan kadar vaksinasi yang teguh, Malaysia berada di landasan untuk peningkatan ekonomi.

"Industri utama seperti hartanah dan pelancongan berkemungkinan mengalami pemulihan yang dipercepatkan kerana sempadan Malaysia dijangka dibuka semula pada suku kedua tahun ini.

"Dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk menarik balik sekatan, kami berharap dapat melihat pengembara antarabangsa yang kembali ke Malaysia.

"Oleh itu, sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk meningkatkan OPR, dalam masa terdekat, ia harus dilakukan secara progresif, selaras dengan keadaan ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata, peningkatan secara beransur-ansur dalam tempoh setahun akan membolehkan rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan kenaikan kadar faedah dan menyediakan kewangan mereka dengan lebih baik dalam menjangkakan pemulihan ekonomi selanjutnya.

"Tambahan pula, ia akan memberi pengguna masa yang mencukupi untuk menikmati persekitaran kadar faedah yang rendah, membuka dana untuk keperluan penting seperti barangan isi rumah dan rawatan penjagaan kesihatan," katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari keduanya bagi tahun ini.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan Khamis lalu berkata, keseluruhan trajektori pemulihan kekal berada di landasannya meskipun aktiviti ekonomi yang sederhana sedikit baru-baru ini disebabkan oleh penularan semula Covid-19 yang didorong oleh varian Omicron.

"Inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan. Pada masa hadapan lebih banyak negara akan beralih kepada pengurusan Covid-19 secara endemik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 10:02 AM