FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebenarnya memberi bebanan kepada pelbagai pihak keseluruhan termasuk peminjam, perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dan pengguna. 

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kos perniagaan juga meningkat apabila kadar OPR dinaikkan terutama mereka yang menjalankan perniagaan melalui pinjaman bank dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pengguna. 

Katanya, ia berpotensi menyebabkan kenaikan harga barang disebabkan peniaga menanggung beban kenaikan OPR dan sebahagiannya diserap kepada pengguna.

"Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan kenaikan OPR bukan tindakan kejam dan juga menjelaskan keputusan kenaikan OPR terbabit bagi mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi dan menjadi tidak terkawal. 

"Namun, persoalan yang timbul sejauh mana keputusan ini dapat mengawal kadar inflasi dalam negara, malah kenaikan OPR memberi kesan dan bebanan besar kepada kumpulan B40 dan M40 yang membayar pinjaman lebih tinggi daripada sebelumnya.

"Terdapat beberapa media turut melaporkan bahawa berdasarkan tinjauan didapati berlaku kenaikan harga sewa rumah kesan kenaikan OPR, baru-baru ini, dan sebahagian pemilik rumah yang mempunyai pinjaman perlu menampung kenaikan ansuran bulanan pembiayaan perumahan lalu menaikkan kadar sewa rumah mereka. 

"Ini bermakna kesan kenaikan OPR sebenarnya menekan sebahagian pemilik dan penyewa rumah yang amat terbeban khususnya mereka yang masih terikat dengan pinjaman bank," katanya.

Menurutnya, walaupun BNM menyatakan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019, namun situasi sebenar sekarang tidak banyak beza dengan situasi semasa Covid-19. 

"Bahkan situasi kini lebih mencabar jika dibandingkan semasa Covid-19 disebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup mencanak mendadak ditambah kenaikan OPR, maka ia menambah beban sedia ada.

"Semasa Covid-19, rakyat menerima banyak manfaat melalui pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk Pakej Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), inisiatif moratorium, Program Subsidi Upah (PSU), Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Geran Khas Prihatin. 

"PSU sebagai contoh membantu begitu ramai majikan dan pekerja untuk terus bernafas. Impaknya juga mengawal kadar pengangguran daripada terus meningkat ketika itu. 

"Bagaimanapun sekarang PSU dan moratorium tiada, manakala gaji yang diterima tidak naik sebagaimana diharapkan. 

" Dalam masa sama pula diteruskan kenaikan OPR dalam keadaan harga barangan dan kos sara hidup tidak menunjukkan tanda menurun. 

"Oleh itu, BNM harus mempertimbangkan untuk mengkaji sebaiknya kesan kenaikan OPR ini dan bagaimana ia benar-benar mengawal kadar inflasi negara dan tidak membebankan rakyat dan industri. 

"Persoalannya, bagaimana keadaan menjadi lebih baik apabila rakyat memperolehi pendapatan hampir sama dan dalam masa sama perlu membayar kadar pinjaman lebih tinggi serta baki pendapatannya selepas ditolak bayaran pinjaman bulanan perlu membeli barangan keperluan harian yang naik secara mendadak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 7:42 AM