GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Langkah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar semasa 3.0 peratus berupaya menyokong ekonomi domestik dalam mencapai sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.5 ke 5.5 peratus tahun ini, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Beliau berkata, ia tindakan tepat dan diperlukan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, dengan trend eksport dan import negara yang menurun seiring dengan menurunnya perdagangan antarabangsa dengan China, iaitu rakan dagang terbesar untuk 12 tahun berturut-turut, maka tumpuan negara adalah kepada ekonomi domestik.

"Kos atau kadar pinjaman yang dikekalkan akan memudahkan perniagaan untuk membuat unjuran perniagaan masing-masing, ini kerana kestabilan kos kewangan adalah sesuatu yang sukar diperolehi kala ini.

"Manakala, kadar Inflasi negara pula terus menurun dari 4.5 peratus pada September 2022 kepada 1.5 peratus sahaja pada Disember 2023. Namun, begitu kenaikan OPR yang bermula 2022 adalah untuk menangani kadar inflasi yang tinggi.

"Kini, kadar inflasi negara dalam keadaan terkawal walaupun tekanan kadar inflasi global yang belum surut, masih ada; susulan pergolakan geopolitik berterusan dan pasaran kewangan global yang begitu dipengaruhi oleh tindakan dan keputusan dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bisnes Metro.

Selain itu, Aimi Zulhazmi berkata, naik turun nilai ringgit amat dipengaruhi faktor global terutama kenaikan kadar faedah yang dilaksanakan Rizab Persekutuan AS, dan tidak ada kesan yang besar kepada nilai ringgit untuk mengukuh sekiranya OPR dinaikkan lagi oleh BNM.

Menurutnya, perbezaan antara kadar faedah OPR (3.0 peratus) dan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, pada masa ini, sudah besar iaitu 2.5 peratus.

"Kenaikan OPR sekiranya 0.25 ke 3.25 peratus tidak banyak membezakan dan tidak menaikkan nilai mata wang ringgit secara langsung.

"Selain itu, nilai faedah Treasury Bond (Bon Perbendaharaan) AS untuk 10 tahun adalah lebih tinggi iaitu 4.25 peratus dari nilai faedah bon MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia) iaitu 3.848 peratus.

"Pada saya, OPR perlu dikekalkan sekurang-kurangnya hingga akhir tahun 2024, ini memberikan kestabilan kepada monetari dan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, dengan pergolakan di Asia Barat dan krisis geopolitik di Eropah timur serta di Asia Timur, yang berterusan, ia jelas memberi ancaman kepada ekonomi negara yang mengamalkan konsep ekonomi terbuka dan menjadi antara ekonomi nombor ke-37 di dunia dari segi KDNK, ke-21 dalam jumlah eksport dan ke-25 (import), menurut statistik 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 1:35 PM