HARIMAU MALAYA kini pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
HARIMAU MALAYA kini pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Thailand membuktikan mereka adalah raja bola sepak Asia Tenggara selepas pasukan terbabit melonjak ke kedudukan 101 dunia berdasarkan kepada kemaskini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Hal ini bermakna, Vietnam yang sebelum ini memegang gelaran sebagai pasukan nombor satu Asia Tenggara jatuh dikedudukan kedua berdasarkan kepada prestasi mereka pada aksi Piala Asia di Qatar baru-baru ini.

Malaysia pula terus berada di kedudukan ketiga terbaik Asia Tenggara selepas berada di 132 dunia iaitu jatuh dua anak tangga berbanding ranking sebelum ini.

Skuad Gajah Perang berjaya merampas kedudukan nombor satu Asia Tenggara selepas mara ke Pusingan 16 terbaik apabila muncul naib juara Kumpulan F di belakang Arab Saudi pada saingan Piala Asia 2023.

Kejayaan mencatat satu kemenangan dan keputusan seri itu menyaksikan Thailand meraih tambahan 29.97 mata sekali gus melonjak 12 anak tangga untuk kini berada di ranking ke-101 dunia.

Vietnam pula kehilangan 41.00 mata apabila tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan mereka jatuh 12 anak tangga dari kedudukan ke-94 kini di tangga ke-105 dunia.

Kejatuhan ranking ini turut menyebabkan Vietnam terkeluar daripada kelompok 100 pasukan ranking dunia buat kali pertama selepas lima tahun dan sudah pasti merentap ego yang selama ini disandang jaguh Asia Tenggara itu.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon berjaya mengelak daripada jatuh ke ranking lebih terusk sselepas berjaya membawa pulang satu mata berharga dengan mengikat gergasi Asia, Republik Korea.

Kedudukan pasukan-pasukan Asia nggara yang lain pula adalah Filipina kini di ranking ke-139 manakala Indonesia di ranking ke-144, Singapura di ranking ke-155 diikuti Myanmar di ranking ke-162, Kemboja di ranking ke-179, Laos di ranking ke-189, serta Brunei di ranking ke-194 dan terakhir Timor Leste di ranking ke-200 dunia.

Kemaskini Ranking Dunia oleh Fifa yang seterusnya dijadualkan pada 4 April 2024 dengan dua keputusan positif menentang Oman pada 21 dan 26 Mac mungkin akan membantu memperbaiki ranking Harimau Malaya menghampiri sasaran kelompok 120 terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:41 PM