Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia melancarkan Insentif Kerjaya Madani 2023 merangkumi Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Program Bina Kerjaya.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, perlaksanaan insentif itu adalah kesinambungan daripada inisiatif yang diluluskan dalam Belanjawan 2023.

"Menerusi Program Daya Kerjaya, majikan mengambil pekerja dalam kalangan belia yang lama menganggur, orang asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol, bekas banduan dan graduan TVET.

"Insentif kewangan akan diberikan kepada majikan bagi permohonan yang dilakukan mulai 1 April lalu bagi mana-mana pengambilan pekerja baru mulai 1 Januari lalu. Jumlah insentif yang akan diperuntukkan adalah sebanyak RM600 sebulan selama tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud dalam Majlis Iftar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Hotel Berjaya Times Square, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sivakumar berkata, Program Bina Kerjaya pula dilaksanakan bertujuan memperkasakan pasaran buruh untuk meningkatkan potensi individu yang sedang bekerja di bawah sektor tidak formal memperoleh pekerjaan formal.

Katanya, ia melalui pengajian RPEL, microcredential, pensiilan profesional atau kompetensi yang diktiraf institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan ikhtisas.

"Selain itu, ia turut membabitkan pusat bertauliah diktiraf oleh badan peneraju industri seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Lembaga Jurutera Malaysia (BOE) dan Institut Perakuanan Malaysia (MIA).

"Ia membabitkan kadar tanggungan bayaran latihan sehingga RM4,000 dan elaun RM300 sebulan bagi tempoh maksimum untuk tiga bulan," katanya.

MUSTAPHA (dua dari kiri) bersama Subhan (kiri) menyampaikan Faedah Hilang Upaya Kekal kepada Muhammad Imran Anuar pada majlis iftar Perkeso 2023. FOTO Asyraf Hamzah
MUSTAPHA (dua dari kiri) bersama Subhan (kiri) menyampaikan Faedah Hilang Upaya Kekal kepada Muhammad Imran Anuar pada majlis iftar Perkeso 2023. FOTO Asyraf Hamzah

Dalam menjayakan program Daya Kerjaya dan Bina Kerjaya ini, beliau berkata, pihaknya menerusi Perkeso akan mengadakan kempen bagi menggalakkan majikan supaya memberikan perhatian dan keutamaan kepada pekerja tempatan dalam pengambilan pekerja baru.

"Kementerian juga akan turut memfokuskan pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara bagi membolehkan majikan dan pencari kerja mendapatkan kemudahan akses pekerjaan dengan lebih cepat dan mudah.

"Selain Insentif Kerjaya Madani, terdapat juga program lain di bawah Belanjawan 2023 yang diamanahkan kepada Perkeso iaitu perluasan Program Bantuan Padanan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

"Selain itu, terdapat pelaksanaan Program Saringan Kesihatan Perkeso Pasca Covid-19 dalam kalangan perkerja, Geran Penjagaan Kanak-kanak bagi Wanita Kembali Bekerja dan tajaan caruman setahun Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah untuk perlindungan suri rumah daripada keluarga miskin," katanya.

Sementara itu, Subahan berkata, kira-kira 100 anak yatim, 40 ibu tunggal dan 11 penerima faedah untuk setiap satu skim Perkeso iaitu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, Skim Keselamatan Sosial Pekeriaan Sendiri dan Sistem Insurans Pekerjaan turut diraikan dalam majlis berkenaan.

Katanya, bayaran faedah berjumlah lebih RM174,000 disampaikan kepada 11 penerima faedah bagi skim terbabit.

"Sempena Ramadan, Perkeso memberikan sumbangan untuk membantu tetamu yang diraikan sempena Hari Raya ini.

"Moga sumbangan yang tak seberapa ini termasuk hamper, duit raya dan baju raya, membero sedikit sinar kegembiraan buat mereka di Aidilfitri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 8:43 PM