NUR Fatin menunjukkan produk baharu Brahim’s outdoor Travelious Meals keluaran Dewina Holdings Sdn Bhd di Kompleks Sukan Kelana Jaya. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
NUR Fatin menunjukkan produk baharu Brahim’s outdoor Travelious Meals keluaran Dewina Holdings Sdn Bhd di Kompleks Sukan Kelana Jaya. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Amir Abd Hamid

BRAHIM'S Outdoor menyasarkan RM5 juta jualan setahun menerusi produk baharu Travelicous Meals yang mulai memasuki pasaran dalam talian sejak 1 Mei lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Brahim's Dewina, Nur Fatin Ibrahim berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan iaitu kira-kira 30 peratus daripada jualan dalam taliannya bulan lalu adalah daripada Travelicous Meals.

Terdapat 13 variasi Set Makanan Travelicious yang dilengkapi elemen pemanas yang boleh dinikmati sebagai 'hidangan panas' ketika aktiviti luar.

"Pilihan set meliputi nasi putih, pulit kuning atau nasi dagang bersama lauk seperti sambal daging, sambal sotong, gulai ikan tongkol atau daging kerutuk.

"Harga bagi set makanan Travelicious antara RM16.49 hingga RM20.99 bergantung kepada jenis set makanan," katanya dalam sidang media di reruai Brahim's yang turut dibuka sempena Outdoor Expo Malaysia 2023 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Jualan dan Pemasaran Kanan Dewina Trading Sdn Bhd, Fazil Othman.

Nur Fatin berkata, set makanan Travelicious Meals memudahkan pengguna terutama yang terbabit dalam aktiviti luar untuk menikmati hidangan mereka tanpa kesulitan membawa dapur untuk memanaskan makanan.

"Setiap bungkusan set makanan Travelicious Meals mengandungi satu bungkusan nasi sedia dimakan, satu bungkusan hidangan lauk sedia dimakan, satu bungkusan elemen pemanas serta satu set sudu dan garfu.

"Anda hanya perlu memasukkan bungkusan makanan ke dalam ziplock, tambahkan air kira-kira 150 mililiter. Anda boleh menggunakan sebarang jenis air ketika berada di hutan.

"Tutup ziplock dan selepas 12 minit, buka ziplock, keluarkan bungkusan makanan dan anda sudah boleh sedia untuk menikmati hidangan 'panas' di mana sahaja, pada bila-bila masa semasa aktiviti anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:01 AM