IBRAHIM (tiga dari kanan) bersama Sharzede Salleh melepaskan peserta pada Majlis Pelancaran Brahim’s Outdoor di Kuching.
IBRAHIM (tiga dari kanan) bersama Sharzede Salleh melepaskan peserta pada Majlis Pelancaran Brahim’s Outdoor di Kuching.
Oleh Mohd Roji Kawi


KUMPULAN Brahim's Dewina, syarikat pengeluar produk makanan jenama Brahim's bersedia meneliti untuk menghasilkan makanan warisan Sarawak dalam bentuk makanan ration pack yang sesuai untuk penggemar aktiviti lasak.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya bersedia menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meneliti kesesuaian makanan terkenal di Sarawak seperti laksa Sarawak dan mi kolok dipeket menggunakan teknologi retort.

Katanya, Kumpulan Brahim's Dewina bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan Sarawak bagi melaksanakan R&D itu.

"Banyak aspek perlu diteliti termasuk menyediakan kuah laksa Sarawak yang boleh dipeket.

"Kita berharap menerusi kerjasama itu akan menghasilkan produk laksa Sarawak dan mi kolok dalam bentuk peket yang boleh kita pasarkan dengan lebih meluas," katanya selepas Majlis Pelancaran Brahim's Outdoor di Permai Rainforest Resort di sini.

Seramai 40 peserta terdiri daripada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta peserta persendirian menyertai program itu yang julung kali dianjurkan Brahim's di Sarawak.

Menurut Ibrahim, jenama Brahim's kini mempunyai sembilan pilihan nasi dan tujuh citarasa lauk yang ditawarkan pada harga amat berpatutan, pembungkusan yang mudah dibawa dan boleh disimpan di dalam suhu bilik.

"Produk Brahim's juga tahan sehingga 24 bulan dan sangat sesuai dimakan dalam pelbagai keadaan terutamanya ketika aktiviti lasak mahupun mengembara.

"Brahim's sudah 34 tahun dalam industri ini dan makanan ration pack kami adalah yang pertama di Asia Tenggara menggunakan teknologi retort dan semestinya 100 peratus halal serta sudah diiktiraf oleh United Nation Peacekeeping Force seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Salleh Askor berkata, pihaknya mengalu-alukan Kumpulan Brahim's Dewina untuk menjalankan R&D terhadap makanan kegemaran Sarawak.

"R&D amat penting sebab kita mahu kualiti produk itu terjamin dan boleh diterima di mana-mana.

"STB sudah mempromosikan makanan warisan Sarawak seperti mi kolok dan laksa Sarawak di seluruh dunia dan apabila ia dihasilkan dalam bungkusan ia akan lebih mudah diperolehi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 7:00 AM