Menara TM.
Menara TM.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan keputusan kewangan kukuh bagi sembilan

bulan pertama tahun 2021 dengan pertumbuhan hasil meningkat 6.8 peratus kepada RM8.38 bilion,

daripada RM7.84 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian ini didorong oleh peningkatan hasil daripada semua kategori produk, terutamanya perkhidmatan Internet yang menyaksikan kenaikan 6.8 peratus susulan pertumbuhan stabil jumlah pelanggan jalur lebar tetap.

Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai meningkat 17.1 peratus kepada RM1.4 bilion daripada RM1.2 bilion berikutan pertumbuhan hasil dan inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan.

Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) meningkat 7.7 peratus kepada RM815.3 juta berbanding RM756.7 juta, susulan keuntungan operasi yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, sepanjang 2021, TM telah memfokuskan usaha-usaha bagi membawakan sambungan dan penyelesaian digital dalam menyokong kelestarian dan pemulihan negara.

"Hasilnya, kami mampu mencatatkan satu lagi suku tahun dengan pertumbuhan hasil dan keuntungan

bersih yang kukuh.

"Fokus kami seterusnya adalah bagi memberi pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan dan

memperkukuh penawaran digital kami merentasi semua segmen pelanggan di unifi, TM One

dan TM Wholesale," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dengan kawalan pergerakan di Malaysia terus dilonggarkan dan ekonomi mula memperoleh momentum, pihaknya kekal komited untuk berkhidmat kepada negara.

"Kami akan terus memainkan peranan kami dalam menerajui pendigitalan di Malaysia seperti yang digariskan oleh pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela), Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12, termasuk rangka tindakan MyDigital.

"Ketika kami meneruskan peralihan ke arah menjadi syarikat teknologi berteraskan insan,

kami akan membangunkan penyelesaian-penyelesaian yang inovatif dan memacu penerapan

digital merentasi segmen pelanggan kami merangkumi pelanggan kediaman, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat dan kerajaan – berpaksi kepada pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.

"Evolusi ini akan disokong oleh cara baharu kami bekerja di TM – memfokus kepada peningkatan

produktiviti menerusi pendigitalan dan automasi proses, mempertingkat kemahiran tenaga kerja

sedia ada kami dan mengalu-alukan bakat-bakat digital baharu," katanya.

Memacu penerapan digital dan cara bekerja yang baharu dalam era pasca pandemik TM mencatatkan penambahan tertinggi jumlah pelanggan unifi bagi tiga suku berturut-turut.

Bagi suku dalam kajian, TM mencatatkan tambahan 210,000 pelanggan unifi baharu dalam segmen

pengguna serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pertumbuhan tertinggi ini dipacu oleh permintaan terhadap sambungan dan alatan pendigitalan

yang tinggi, di mana kini ia menjadi keperluan yang penting.

"Bagi memenuhi permintaan ini, TM telah menambah bilangan port jalur lebar yang lebih tinggi dan membawakan liputan rangkaian fiber lebih luas.

"Perluasan ini telah melangkaui sasaran komitmen TM dalam Jendela. Pelaksanaan rangkaian yang pantas berserta sokongan jitu barisan hadapan, dorongan pemasaran yang berterusan dan pemasangan yang pantas telah berjaya mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:00 PM