PMKS boleh dapat manfaat besar daripada menerima integrasi digital untuk menyelaraskan operasi dan memanfaatkan saluran baharu untuk pertumbuhan.
PMKS boleh dapat manfaat besar daripada menerima integrasi digital untuk menyelaraskan operasi dan memanfaatkan saluran baharu untuk pertumbuhan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Suntikan peruntukan tambahan RM100 juta untuk geran padanan digitalisasi yang diperkenalkan kerajaan menerusi Ekonomi Madani adalah langkah baik untuk membantu mempercepatkan integrasi model perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengadaptasi peralihan model perniagaan digital.

Pakar Ekonomi Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata,  suntikan yang berterusan secara tahunan dijangka dapat menyumbang kepada peralihan terbabit.

Beliau berkata, dengan peruntukan terhad, pemilihan PMKS yang mendapat manfaat ini perlulah bersasar dengan memberi tumpuan kepada pihak yang berpotensi untuk berkembang dengan baik.

Menurutnya, selain itu PMKS berkenaan juga seharusnya mempunyai ciri-ciri kegagalan yang rendah dan mekanisme khusus mungkin perlu dibentuk bagi memastikan peruntukan dapat menjana impak yang tinggi kepada ekonomi.

"Dalam konteks Malaysia, PMKS boleh mendapat manfaat besar daripada menerima integrasi digital untuk menyelaraskan operasinya dan memanfaatkan saluran baharu untuk pertumbuhan.

"Inisiatif pendigitalan ini akan memberi manfaat kepada PMKS kerana ia menangani halangan biasa yang mereka hadapi, seperti sumber yang terhad untuk mewujudkan dan mengurus pelanggan dalam talian, kesukaran untuk mencapai pasaran yang lebih luas dan cabaran yang berkaitan dengan transaksi dan penghantaran dalam talian.

"Menerusi langkah ini, ia membolehkan PMKS memanfaatkan kuasa teknologi digital. Mereka boleh bersaing pada skala lebih besar, mengembangkan pasaran mereka dan menyumbang dengan lebih ketara kepada ekonomi keseluruhan," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yusof yang juga Ketua Ekonomi  Buruh di Kementerian Sumber Manusia Emeriah Arab Bersatu (UAE) berkata, pendigitalan bukan satu-satunya cara untuk  menyelesaikan segala isu berkaitan dengan PMKS.

Beliau berkata, akses kepada kewangan, pembangunan tenaga kerja berkemahiran dan sokongan kawal selia antara faktor yang turut penting dalam mempengaruhi pertumbuhan dan pengembangan pasaran PMKS.

"Umpamanya, PMKS sering menghadapi cabaran dalam mendapatkan pembiayaan untuk pertumbuhan dan pengembangan, akses yang lebih baik kepada pilihan pembiayaan seperti pinjaman dengan faedah rendah, modal teroka dan platform 'crowdfunding', boleh menyediakan modal yang diperlukan untuk melabur dalam pasaran baharu, teknologi dan pembangunan produk.

"Begitu juga, tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan adalah penting bagi PMKS untuk berinovasi dan bersaing dengan berkesan.

"Inisiatif yang menyediakan latihan, perantisan dan program pendidikan disesuaikan dengan keperluan PMKS boleh meningkatkan produktiviti dan keupayaan mereka untuk memasuki pasaran baharu," katanya.

Beliau juga melihat bahawa penerimaan model perniagaan baharu, termasuk peluang dalam segmen digital, dalam kalangan PMKS boleh berbeza-beza berdasarkan faktor seperti industri, lokasi geografi, saiz syarikat dan persekitaran ekonomi semasa.

Menurutnya, PMKS yang menyedari potensi manfaat model perniagaan baharu dan teknologi digital lebih berkemungkinan mempertimbangkan penggunaannya serta memberi pendidikan dan kesedaran tentang cara model ini boleh meningkatkan kecekapan, mengembangkan pasaran dan meningkatkan keuntungan adalah penting.

Menyentuh secara keseluruhan fokus ekonomi Malaysia Madani, Mohd Yusof berkata, ketika meneliti pelancarannya baru-baru ini, dapat disimpulkan bahawa ekonomi Malaysia Madani bertindak sebagai dokumen dasar jangka masa panjang negara.

Ini juga secara tidak langsung ekonomi negara akan dijajarkan semula bersandarkan konsep Malaysia Madani berbanding dahulunya disusun berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Saya menyambut baik penjajaran semula ini kerana Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dibina ketika negara tidak lagi dilanda dengan tsunami Covid-19. 

"Selepas 'hentaman' Covid-19, ekonomi perlu distruktur semula bagi memastikan negara kalis kepada krisis masa hadapan. Keadaan ini memerlukan dasar yang menstruktur semula ekonomi Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 9:50 PM