MOHD Khairil (kanan) dalam satu majlis di Singapura yang ditayangkan secara langsung di Menara Axiata, Kuala Lumpur. FOTO Bernama
MOHD Khairil (kanan) dalam satu majlis di Singapura yang ditayangkan secara langsung di Menara Axiata, Kuala Lumpur. FOTO Bernama
Oleh Rosyahaida Abdullah


CABANG perkhidmatan digital milik Axiata Group Berhad, Axiata Digital mengumumkan pelaburan strategik berjumlah AS$70 juta (hampir RM300 juta) oleh Great Eastern ke arah mempertingkatkan perniagaan perkhidmatan kewangan digitalnya (DFS) di rantau Asia Tenggara.

Pelaburan itu secara tidak langsung menjadikan Great Eastern mengambil pegangan 21.875 peratus daripada Axiata Digital dalam perniagaan DFSnya iaitu Boost Holdings Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah berkata, sepanjang dua tahun lalu, pihaknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membangun dan meningkatkan jenama DFS syarikat menggunakan teknologi digital serta aset Telco yang dimiliki untuk memastikan capaian perkhidmatan yang lebih luas untuk segenap pengguna.

Bermula dengan Boost yang berkembang menjadi aplikasi pembayaran tanpa tunai pilihan, pihaknya juga giat memperkukuh jenama insurans dan pembiayaan mikronya, Aspirasi yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dengan akses yang dipermudahkan.

"Dengan pelaburan daripada rakan kongsi perniagaan yang cukup meyakinkan seperti Great Eastern, kami berharap dapat memanfaatkan apa saja teknologi seterusnya yang akan muncul kelak yang difikirkan terbaik untuk pengguna," katanya.

Terdahulu, beliau menandatangani perjanjian bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Great Eastern, Khor Hock Seng dalam satu majlis di Singapura yang ditayangkan secara langsung di Menara Axiata, Kuala Lumpur dan disaksikan Presiden Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Dalam pada itu, pelaburan yang dibuat Great Eastern dalam Boost Holdings Sdn Bhd merangkumi e-dompet Boost yang memiliki lebih 7.5 juta pengguna dan 170,000 rakan niaga dan Boost Indonesia dengan 544,000 rakan niaga.

Selain itu, pelaburan Great Eastern juga membabitkan pegangan untuk Aspirasi, Trust Axiata Digital Limited (kerjasama dengan bank tempatan Bangladesh) dan pelancaran seterusnya untuk DFS di pasaran Axiata lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:10 AM