AHMAD  (kiri) dan Ibrahim  bersalaman selepas  Majlis Menandatangani PPPDK antara Malaysia dan Maldives.
AHMAD (kiri) dan Ibrahim bersalaman selepas Majlis Menandatangani PPPDK antara Malaysia dan Maldives.

Malaysia menjangkakan nilai perdagangan Malaysia ke Maldives akan meningkat dengan termeterainya Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai Atas Pendapatan Dan Pencegahan Pelarian Dan Pengelakan Cukai (PPPDK) antara dua negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dengan termeterainya PPPDK ini, ia dijangka menggalakkan lagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Jumlah perdagangan dua hala berada pada aliran meningkat dengan jumlah perdagangan pada 2022 ialah RM1.01 bilion iaitu meningkat sebanyak 100.2 peratus berbanding RM504 juta pada 2021.

"Melihat kepada aliran positif ini, kita jangkakan perdagangan dua hala ini akan terus berkembang," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali mengenai Cukai Atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK) antara Malaysia dan Maldives di Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Pada majlis itu, Ahmad mewakili Malaysia manakala Maldives diwakili Menteri Kewangan republik itu, Ibrahim Ameer.

Ahmad berkata, kerajaan Malaysia menggalakkan syarikat kedua-dua negara merebut peluang ini dengan melabur dan mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi di Malaysia dan Maldives.

"Kita harap dengan termeterainya perjanjian ini, ia dapat meningkatkan hubungan dagangan dua hala serta lebih ramai lagi syarikat melabur sama ada di Maldives dan Malaysia.

"Di Maldives misalnya, mereka mempunyai sejumlah 1,200 pulau dan 160 daripadanya berstatus resort," katanya.

Perjanjian ini bertujuan mengelak pencukaian dua kali yang terbit daripada pendapatan sama di kedua-dua negara, sekali gus memberikan kejelasan cukai kepada pembayar cukai kedua-dua negara.

Perjanjian PPPDK ini membabitkan hak penentuan mengenakan cukai dan pengurangan kadar cukai pegangan ke atas pendapatan tertentu seperti dividen, faedah, royalti dan fi bagi perkhidmatan teknikal berasaskan timbal balas bagi aktiviti ekonomi rentas sempadan.

Perjanjian in akan berkuat kuasa sejurus selepas prosedur ratifikasi kedua-dua pihak selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:01 AM