Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan menyifatkan pihak yang melabel dirinya kafir sebagai kurang berilmu dan tidak matang.

Ahmad berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana kenyataannya meminta ahli Umno menyokong calon DAP adalah perkara biasa dalam berpolitik bagi mengukuhkan parti gabungan.

"Ia bukan isu peribadi tetapi isu prinsip, kita tidak boleh mengkafirkan orang hanya kerana saya kata undilah DAP maka timbullah tuduhan menjelikkan.

"Saya tak kata ia dimiliki parti tertentu tapi ayat disebut itu melambangkan kerendahan ilmu pihak berkaitan.

"Saya ingin maklumkan, Pas pernah bersama dengan DAP pada gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini, malah Presiden Pas pernah menyebut undi calon DAP, malah Presiden Bersatu pernah menyebut undi calon DAP tetapi kami tidak pernah mengkafirkan mereka.

"Tiada kaitan dengan akidah pun sebab apabila kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini, sekali lagi saya menyebut bukan atas nama DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan jadi kita harus saling bantu antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali mengenai Cukai Atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK) antara Malaysia dan Maldives di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ahmad mengulas mengenai gambar wajahnya dilukis khinzir serta ditulis perkataan kafir oleh pihak tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial.

Isu itu timbul selepas kenyataan beliau meminta ahli Umno menyokong calon DAP di kawasan masing-masing atas nama memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, Jumaat lalu diputar belitkan.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, tindakan politik tidak matang seumpama itu harus dihentikan.

"Saya kira tentunya pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan siasat perkara ini termasuk pemilik akaun sama ada fake akaun atau ada pengendali, orang atau organisasi di sebaliknya.

"Saya tidak mahu salahkan sesiapa tetapi benda tak baik patut dihentikan. Kita mahu keharmonian dalam politik kita," katanya.

Menurutnya, laporan polis termasuk dari Pemuda Umno dan beberapa tempat termasuk Johor dan Sabah sudah dibuat setakat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 3:59 PM