Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Perbincangan mengenai mekanisme menyeluruh mengenai pelaksanaan subsidi bersasar sudah mencapai 75 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerangka mengenai pelaksanaan itu masih dibincangkan di peringkat kementeriannya sebelum dibentangkan di Kabinet.

"Sekarang sudah dimulakan dengan Lembaga Tabung Haji untuk mereka yang menunaikan haji baru-baru ini, merangkumi ada kadar tertentu untuk T20 dan M40...kemudiannya elektrik, jadi tiba masanya untuk diesel dan RON95.

"Tapi, kita masih lagi memperhalusinya dan belum ada lagi kaedah muktamad bagaimana cara hendak melaksanakannya.

"Kita belum ada perincian termasuk sama ada guna kad pengenalan, kad khas atau kapasiti enjin kereta belum diputuskan," katanya ketika sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali mengenai Cukai Atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK) antara Malaysia dan Maldives di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan meneliti penarikan subsidi terhadap T20 bukan berdasarkan kepada tangga pendapatan semata-mata sebaliknya mengambil kira jumlah tanggungan, beliau berkata, perkara itu juga dalam pertimbangan jawatankuasa terbabit.

"Saya ada baca laporan mengenai mereka yang betul-betul berada di kelas rendah T20 akan terjejas.

"Jadi, kita ada beberapa bulan lagi untuk kaji dan pertimbangkan termasuk melihat jumlah tanggungan misalnya anaknya ada lima orang dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada perincian mekanisme itu akan diumumkan pada Belanjawan 2024, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berikutan kebiasaannya banyak perkara dilaksanakan untuk tahun berikutnya diumumkan pada hari berkenaan.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, golongan T20 yang sebelum ini terpaksa menanggung perbelanjaan menunaikan haji sendiri selepas subsidi ditarik, tidak akan menerima lagi subsidi elektrik, namun perincian mengenai mekanisme pelaksanaan perkara itu masih belum diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:22 PM