NAJIB   bersalaman dengan  Abdulla Yameen   sempena  lawatan rasmi ke Maldives selama dua hari.
NAJIB bersalaman dengan Abdulla Yameen sempena lawatan rasmi ke Maldives selama dua hari.
BERNAMA

Male (Maldives): Hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Maldives kini terus diperkukuh dengan pelbagai kerjasama dan perkongsian pintar dalam sektor menguntungkan kedua-dua negara.

Menggunakan kelebihan dalam pelbagai persamaan nilai, agama dan budaya, Kuala Lumpur dan Male mahu kerjasama diplomatik berusia 49 tahun terus diperkukuh bagi membolehkan jalinan rakyat dengan rakyat bertambah erat, sekali gus menjadi tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara.

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas undangan Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom menyaksikan kedua-dua negara saling menghormati kelebihan masing-masing dan mahu belajar daripada satu sama lain bagi mewujudkan perkongsian pintar yang menguntungkan kedua-duanya.

Meskipun lawatan pertama kali Najib ke negara kepulauan itu singkat, kerajaan Malaysia dan Maldives berjaya memeterai dan memuktamadkan empat perjanjian persefahaman (MoU) bagi kepentingan bersama dan membuka laluan kerjasama lebih luas pada masa depan.

MoU berkenaan adalah mengenai penubuhan Pusat Kebudayaan Maldives dalam bidang kesihatan, memadamkan kebakaran dan menyelamat serta pendidikan tinggi.

Ingin melihat pertumbuhan ekonomi negara masing-masing dapat dilonjakkan menerusi sektor tertentu seperti industri halal dalam sektor makanan, perkhidmatan, kewangan Islam dan pelancongan, Kuala Lumpur dan Male mahu rakyat kedua-dua negara terbabit dalam agenda pembangunan dan ekonomi Malaysia dan Maldives.

Najib berkata Malaysia dan Maldives boleh menerokai industri halal bersama bagi menjana aktiviti ekonomi yang menguntungkan, apatah lagi Malaysia mempunyai kepakaran dengan pensijilan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah pun menjadi penanda aras global.

“Kami (Malaysia dan Maldives) boleh bekerjasama walaupun dengan mengeksportnya ke negara ketiga. Kami juga melihat kepada kewangan Islam memandangkan Malaysia peneraju sektor ini,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:40 AM