KADAR inflasi yang dijangka kekal tinggi  memberi kesan negatif kepada pendapatan benar yang boleh memberi kesan langsung kepada momentum perbelanjaan isi rumah di serata dunia.
KADAR inflasi yang dijangka kekal tinggi memberi kesan negatif kepada pendapatan benar yang boleh memberi kesan langsung kepada momentum perbelanjaan isi rumah di serata dunia.
Sri Ayu Kartika Amri

PERMINTAAN domestik dijangka menjadi tunggak kepada prestasi keseluruhan ekonomi negara bagi separuh tahun kedua 2023.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat dua faktor utama yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada separuh kedua 2023.

Katanya, pertama adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi pada tahun lalu yang mana KDNK telah bertumbuh pada kadar 14.1 dan 7.1 peratus pada suku ketiga dan keempat 2022.

"Faktor kedua pula adalah permintaan luaran yang dijangka semakin perlahan akibat daripada kelembapan ekonomi di negara maju hasil daripada kecairan yang semakin berkurangan akibat kenaikan kadar faedah yang drastik.

"Di samping itu, kadar inflasi yang dijangka kekal tinggi juga memberi kesan negatif kepada pendapatan benar yang boleh memberi kesan langsung kepada momentum perbelanjaan isi rumah di serata dunia.

"Justeru, permintaan domestik dijangka menjadi tunggak kepada prestasi keseluruhan ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini.

"Dasar monetari yang masih lagi mengembang serta jangkaan perbelanjaan kerajaan persekutuan yang besar berikutan perlaksanaan di bawah program Bajet 2023 dan juga sokongan berterusan daripada sektor berkaitan perlancongan bakal merancakkan ekonomi domestik," katanya kepada Bisnes Metro.

Sehubungan dengan itu, menurutnya sasaran pertumbuhan KDNK antara 4.0 hingga 5.0 peratus dijangka dapat dicapai.

Beliau berkata, apa yang penting, segala bentuk bantuan kerajaan perlu dilaksanakan mengikut jadual supaya kesan berganda akan dapat dirasai oleh rakyat Malaysia.

"Dalam hal ini, aspek komunikasi serta koordinasi di antara jabatan kerajaan perlu diperhebatkan agar bantuan ini sampai kepada golongan sasaran dan dengan kadar yang segera.

"Malah, permintaan domestik dan eksport enjin ekonomi menjadi dua faktor utama di mana ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang baik sebanyak 5.6 peratus dengan kedua-dua enjin, permintaan domestik dan eksport, masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 54.4 peratus.

"Bank Negara Malaysia (BNM) juga menjangkakan ekonomi akan mencapai status guna tenaga penuh tahun ini, yang bermakna perbelanjaan dalam kalangan isi rumah akan terus bertahan.

"Namun begitu, kadar inflasi dijangka kekal tinggi dan risiko meningkat dijangka dipengaruhi oleh harga komoditi global, inflasi import daripada ringgit yang lemah, permintaan kukuh dari China dan semakan lebih besar kepada subsidi dan dasar had harga," katanya.

Beliau berkata, kesimpulannya, ekonomi Malaysia berada di landasan untuk merekodkan pertumbuhan KDNK 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:00 AM