Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - FOTO BERNAMA
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Setar: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah merealisasikan pelaburan berjumlah RM7.34 bilion dan mewujudkan 5,365 peluang pekerjaan melalui pelaburan berimpak tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pada tahun 2022.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata program pembangunan bakat NCER dan inisiatif pembangunan taman perindustrian adalah bukti komitmen untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dan menggalakkan inovasi serta pertumbuhan ekonomi di Kedah.

"Dengan melabur dalam kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja kami serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan bertaraf dunia, NCIA mewujudkan persekitaran yang akan menarik pelaburan baharu dan menggalakkan pertumbuhan industri berteknologi tinggi di Kedah.

"Saya yakin usaha NCER dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif dengan membangunkan bakat dan infrastruktur strategik serta taman perindustriannya akan memberi impak yang berkekalan kepada pembangunan ekonomi di rantau ini dan saya berharap dapat melihat hasil positif daripada inisiatif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemandu negeri di Wisma Darul Aman di sini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata NCIA terus mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk pekerja berkemahiran tinggi di Kedah melalui program pembangunan bakatnya seperti Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP) dan Pusat Inovasi dan Teknologi NCER (NTIC).

"Sejak diperkenalkan, program pembangunan bakat kami seperti NTEP dan NTIC telah berjaya membangunkan pekerja berkemahiran tinggi di Kedah dan mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata NCIA mempunyai 803 peserta komited yang mana 448 daripadanya telah diambil bekerja.

Beliau berkata pada tahun ini, tumpuan NCIA adalah untuk merealisasikan pelaburan bagi taman perindustrian NCER di Kedah seperti Bandar Getah Kedah (KRC) dan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP), yang akan terus mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang positif di negeri itu.

Mohamad Haris berkata NCIA percaya bahawa melabur dalam pembangunan bakat dan taman perindustrian adalah kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti di Kedah.

Beliau berkata, taman perindustrian NCER di Kedah, termasuk KRC dan KSTP, menawarkan infrastruktur dan utiliti yang terbaik serta insentif kompetitif untuk menarik pelabur selain menyediakan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang dan berjaya, mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Tambahnya taman perindustrian itu juga akan menawarkan kepada pelabur mengenai peluang unik untuk menubuhkan perniagaan mereka di lokasi strategik dengan infrastruktur yang sangat baik dan insentif pelaburan yang sangat kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 5:57 PM