FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

SEJAK sekian lama, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) merancang pelbagai program holistik dan bersepadu untuk menangani cabaran kewangan yang dihadapi oleh penduduk tempatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Program berkenaan kini lebih relevan sejak pandemik Covid-19 melanda memandangkan ia dapat mewujudkan komuniti usahawan tempatan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan aliran pendapatan serta menawarkan kemahiran tambahan kepada bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri dalam keadaan trend pemberhentian pekerja yang semakin meningkat.

Ketua Bahagian Modal Insan NCIA, Datin Shahdee Ahmad berkata, kesejahteraan masyarakat bergantung pada kemampuan warganya untuk mendapatkan akses kepada peluang sosial dan ekonomi, justeru dalam usaha membantu lebih ramai penduduk mengembangkan potensi penuh mereka, NCIA melaksanakan beberapa program untuk membantu memperkasa warga di NCER.

Program berkenaan ialah empowerNCER, JomNiaga@NCER, JomKerja@NCER, Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP), Dana Usahawan (DU@NCER) dan enterpreneurNCER untuk membantu meningkatkan kuasa beli rakyat, memastikan tenaga kerja mempunyai berkemahiran mencukupi dan relevan kepada keperluan industri di samping menyediakan sokongan kepada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.

Beliau berkata, dengan akses kepada semua peluang ini, rakyat dapat diperkasakan untuk meningkatkan status sosioekonomi selain memastikan kemakmuran mereka seperti Norzanariah Mohamed Nor dari Pulau Pinang yang berjaya meningkatkan pendapatan hampir lapan kali ganda selepas menyertai program JomNiaga@NCER.

"Norzanariah dapat mengembangkan perniagaan makanan sejuk beku selepas mengikuti program itu, yang menyediakan latihan, alat pemula niaga dalam bentuk peti sejuk beku dan sokongan daripada NCIA," katanya.

Beliau berkata, program itu membantu meningkatkan pendapatan peserta dan apabila perniagaan berkembang, mereka akan mewujudkan kesan limpahan dengan menyediakan peluang pekerjaan dalam komuniti.

Sementara itu, NCIA turut melancarkan JomKerja@NCER, program pantas untuk menangani kesan pandemik ke atas kumpulan yang paling terjejas serta merangsangkan ekonomi pasca pandemik dengan memberi insentif kepada syarikat untuk mewujudkan pekerjaan.

Pengarah Kanan Bahagian Pelaburan, Fajaffri Mohd Fadzil berkata, JomKerja@NCER adalah program bantuan digital sepenuhnya selama enam bulan dengan NCIA memberi subsidi maksimum RM1,000 bagi setiap pekerja untuk mendorong syarikat meneruskan program pengambilan pekerja terutama yang diberhentikan dan lepasan pengajian tinggi di wilayah ini. - Bernama

Beliau berkata, baru-baru ini, NCIA bekerjasama dengan syarikat pembuatan tayar dan mengadakan pameran pekerjaan dan kaunseling kepada lebih 700 pekerja yang diberhentikan pada Jun 2021.

Separuh daripada pekerja berkenaan kini terus akan menerima tawaran pekerjaan dari pelbagai syarikat lain di wilayah utara, katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata program modal insan yang dirangka NCER dengan kerjasama agensi persekutuan dan negeri, pertamanya dan yang paling utama bertujuan mengurangkan kesan pandemik terhadap situasi sosioekonomi semasa yang dihadapi rakyat.

"Kedua, aliran masuk pelaburan swasta baharu ke wilayah ini ditambah dengan tenaga kerja sedia untuk industri akan meningkatkan pemulihan keseluruhan wilayah ini yang pada akhirnya akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.

Projek dan program NCIA di wilayah utara memberi impak ketara dan berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM15.6 bilion pada 2020 dan RM16 bilion setakat ini bagi 2021, dipacu oleh pelaburan langsung domestik (DDI).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:56 AM