Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM16 bilion bagi 2021, sekali gus bakal mewujudkan 19,652 peluang pekerjaan.

Pengumuman pelaburan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-26 yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri turut menyaksikan lapan syarikat menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Terdahulu di dalam perutusannya, Muhyiddin berkata, pelaburan yang menggalakkan itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara ini walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Menurutnya, komitmen pelaburan serta peluang pekerjaan yang bakal disediakan adalah tanda keyakinan komuniti pelabur terhadap daya maju Malaysia dan negeri di NCER.

"Di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada 15 Jun lalu, kerajaan berusaha untuk memberikan vaksin kepada sebanyak mungkin populasi di Malaysia menjelang akhir tahun ini atau lebih awal.

"Ini akan membantu memulihkan situasi pandemik yang sedang melanda termasuk aktiviti perniagaan dan ekonomi.

"Komitmen pelaburan seperti yang kita lihat hari ini, insya-Allah akan mendukung dan mempercepatkan proses pemulihan kita, khususnya di NCER," katanya.

Selain itu, NCIA berkata, pelaburan yang diterima itu adalah kerjasama pihaknya dengan Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) itu adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjayakan PPN.

Pelaburan yang berjaya diperoleh juga adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Staregik NCER (NCER SDP 2021 hingga 2025).

Pada majlis itu juga, dua pelabur perintis sudah bersetuju untuk menyuntik pelaburan kumulatif bernilai RM1.55 bilion dalam projek Kedah Rubber City (KRC), iaitu Taman Perindustrian Getah yang pertama di Malaysia.

Pembangunan kemudahan infrastruktur di KRC kini mendahului jadual dan pelaksanaan projek pelabur akan bermula dari suku keempat 2021 dan seterusnya.

Pelabur terbabit adalah Hong Seng Industries Sdn Bhd (RM1.5 bilion) dan LTS Logistics Sdn Bhd (RM55 juta).

Secara keseluruhannya, pelaburan oleh kedua-dua syarikat ini dijangka mewujudkan 2,630 peluang pekerjaan.

Sementara itu, dengan merangkaikan pengeluar getah utama serantau di kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), KRC akan memperkukuhkan rantaian nilai getah meliputi segmen huluan, pertengahan dan hiliran di sub-wilayah IMT-GT yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi lebih berdaya saing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:00 AM