GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi bernilai RM2.34 bilion hasil kerjasama secara kolektif bersama lima lagi syarikat pelabur baharu.

Ia sekali gus mencipta 4,400 peluang pekerjaan yang akan memacukan pemulihan sosioekonomi di negeri ini.

Lima syarikat itu, Eco Medi Glove Sdn Bhd, Onetexx Sdn Bhd, PNA Technologies Sdn Bhd, HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Dynacare Sdn Bhd.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingan Issace John berkata, NCIA sudah mengumumkan penambahbaikan kepada program insentif.

Ia merangkumi NCER Tax Incentives (NTax@NCER), NCER Talent Enhancement Program (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER).

Katanya, melalui DU@NCER, NCIA menyediakan geran pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Perak bagi mengatasi implikasi ekonomi terkesan oleh pandemik Covid-19.

"Sehingga kini, program DU@NCER sudah menyokong pembangunan 13 usahawan PKS tempatan dengan jumlah pelaburan baharu RM135 juta dan mewujudkan 520 peluang pekerjaan baharu.

"Bagi memastikan Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat," katanya di Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak oleh NCIA, secara maya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik Covid-19, kerajaan negeri terus memfokuskan usaha menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi.

Beliau berkata, ia menjana ekonomi termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

NCIA menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Perak untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan di wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.

Kerajaan Perak menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 8:31 AM