GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


PENGAPUNGAN harga ayam dan telur di pasaran negara yang dijangka dilaksanakan selepas Jun ini berpotensi besar mempengaruhi kenaikan harga dua bekalan mentah terbabit.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaksanaan itu akan memberi sedikit kejutan pada pasaran bagi peringkat awal.

Katanya, sudah pasti ia akan memberi kejutan juga kepada harga ayam dan telur apabila pihak peniaga dalam keseluruhan rantaian nilai bekalan akan menyesuaikan keadaan masing-masing.

"Ia mungkin akan melonjakkan sedikit harga bekalan mentah itu dalam mencari arah harga ayam dan telur yang sebenar selepas lama dikawal oleh kerajaan.

"Lambat laun, kesannya akan beransur diserap oleh pasaran semasa.

"Sudah pasti ia akan memberikan kesan kepada harga barangan makanan berkaitan barangan asas daripada telur dan ayam," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan boleh melaksanakan subsidi bersasar untuk golongan B40 bagi mengurangkan bebanan tekanan inflasi kepada mereka.

Menurutnya, pada masa ini kawalan harga telur dan ayam turut dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan subsidi yang diberikan amat membebankan kewangan kerajaan.

"Bagaimanapun perlaksanaan mekanisma subsidi bersasar mesti dilakukan juga untuk memastikan program ini (subsidi bersasar) berjaya nanti dan memberi manfaat kepada golongan memerlukan iaitu B40 dan M40.

"Selain itu, peniaga mikro dan kecil terutama yang menyediakan makanan mengikut menu rahmah juga mesti diberikan bantuan subsidi kepada bekalan asas seperti ayam dan telur.

"Sekiranya, golongan peniaga ini tidak diberi bantuan subsidi sudah tentu program makanan menu rahmah tidak dapat dipanjangkan 'hayatnya'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 6:10 AM