FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd bersedia memperuntukkan sejumlah RM30 bilion ke arah kewangan lestari sebagai sebahagian daripada cita-citanya yang mahu menjadi peneraju kelestarian Asean menjelang 2024.

Matlamat kumpulan perbankan itu dipandu oleh kerangka Perkhidmatan dan Produk Berimpak Kelestarian, Sosial serta Hijau (GSSIPS), yang merupakan sasaran kewangan kelestarian tertinggi yang merangkumi pembiayaan borong, komersial, bon, perantaraan, produk kekayaan dan produk yang memungkinkan keterangkuman kewangan seperti pembiayaan rumah mampu milik serta produk lain yang disediakan bagi kesejahteraan kumpulan B40.

"CIMB telah mencatatkan kemajuan yang baik dan berada di hadapan jadual dalam memenuhi sasaran asalnya dengan penawaran melebihi RM10 bilion di bawah rangka kerja GSSIPS yang telah pun tercapai pada 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, ia juga komited untuk mengurangkan perubahan iklim, termasuk pelepasan skop 1 dan 2 gas rumah hijau (GHG) menjelang 2030 dan pelepasan GHG sifar pada 2050, bersama dengan komitmen Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Tanah Gambut, Tanpa Eksploitasi (NDPE).

"Tambahan pula, kumpulan itu komited untuk melabur sejumlah RM150 juta selama lima tahun dan 100,000 dalam jam sukarelawan membabitkan kakitangannya setiap tahun menjelang 2024 untuk menimbulkan impak positif kepada kehidupan, komuniti dan perniagaan di seluruh Asean," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kelestarian sudah menjadi teras serta disepadukan dalam perniagaannya dan kumpulan itu secara aktif, ia turut melibatkan pelanggan termasuk semua pihak berkepentingan untuk mempromosikan perkhidmatan kewangan yang selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian.

"CIMB komited dalam memainkan peranan bagi mempercepat agenda kelestarian melalui komitmen yang diumumkan hari ini," katanya.

Sementara itu, lembaga pengarah CIMB telah menubuhkan Jawatankuasa Kelestarian dan Tadbir Urus Kumpulan yang dipengerusikan oleh Pengarah Bebas Kanan, Teoh Su Yin .

"Di bawah Pelan Strategik Forward23+, kumpulan telah menetapkan sasaran untuk berada di kuartil teratas Indeks Kelestarian Dow Jones (DJSI) pada 2024.

"DJSI menjejaki prestasi syarikat terkemuka dunia daripada segi amalan kelestarian dan sehingga kini, CIMB telah meningkatkan kedudukannya daripada persentil ke-19 semasa 2018 kepada persentil ke-65 pada 2020, " katanya.

CIMB juga dalam proses menyelesaikan kerangka dalamannya bagi mengenal pasti dan mengklasifikasikan aset yang terkait dengan iklim, aktiviti ekonomi termasuk kriteria persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang didasarkan pada kerangka GSSIPS kumpulan serta Bank Negara Malaysia (BNM) ) Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT).

Katanya, kerangka dalaman ini akan membolehkan CIMB untuk menilai, memantau dan meningkatkan pendedahannya terhadap aset hijau, sosial serta kelestarian dengan cara yang lebih holistik dan disasarkan dalam beberapa tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 7:54 PM