GAMBAR hiasan. Cawangan bank UOB di Singapura pada 4 November 2020. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. Cawangan bank UOB di Singapura pada 4 November 2020. FOTO Reuters
BERNAMA

Kuala Lumpur: Anak syarikat United Overseas Bank Ltd (UOB) akan mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup, yang terdiri daripada portfolio pemberian pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam pada SG$915 juta (RM2.8 bilion).

Sebagai sebahagian daripada cadangan pengambilalihan tersebut, kakitangan dalam perniagaan pengguna akan diserap oleh UOB.

Menurut kenyataan pada Jumaat, UOB menekankan bahawa adangan itu akan memperkukuh dan memperdalam lagi francais UOB di ASEAN.

"Pengambilahan ini dijangka selesai di antara pertengahan 2022 dengan awal 2024, bergantung pada kemajuan dan keputusan proses kelulusan kawal selia.

"Penyelesaian pengambilalihan di setiap negara adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia berkenaan yang diperoleh dari setiap negara," jelasnya.

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB, Wee Ee Cheong berkata UOB percaya dengan potensi jangka panjang Asia Tenggara.

Beliau berkata justeru, pihaknya berharap untuk menyepadukan portfolio Citigroup yang berkualiti dan juga mengalu-alukan pasukannya, selain mewujudkan nilai untuk asas pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain.

"Perniagaan yang diambil alih, bersama dengan francais pengguna serantau UOB, akan menghasilkan gabungan amat mantap yang akan meningkatkan perniagaan Kumpulan UOB di samping memajukan kedudukan kami sebagai bank serantau yang terkemuka," katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, CEO Asia Pasifik Citi, Peter Babej berkata, pihaknya yakin bahawa UOB, dengan budaya yang kukuh dan cita-cita serantau yang luas, akan menyediakan peluang yang amatbaik dan tempat kerja jangka panjang bagi rakan sekerja perbankan penggunanya di Indonesia, Malaysia,Thailand dan Vietnam.

"Memberikan tumpuan kepada perniagaan kami melalui langkah ini akan memudahkan pelaburan tambahan dalam bidang tumpuan strategik kami, termasuk rangkaian institusi kami di seluruh Asia Pasifik, justeru menghasilkan pulangan optimum untuk Citi," katanya.

Perniagaan pengguna Citigroup mempunyai nilai aset bersih agregat berjumlah kira-kira SG$4 bilion (RM12.44 bilion) dan asas pelanggan lebih kurang 2.4 juta pada 30 Jun, 2021, dan menjana pendapatan berjumlah kira-kira SG$0.5 bilion (RM1.56 bilion) pada separuh pertama 2021.

Tanpa memasukkan kos urus niaga sekali sahaja, cadangan pengambilalihan ini dijangka menunjukkan pertambahan serta-merta kepada pendapatan sesaham (EPS) dan pulangan atas ekuiti (ROE) UOB.

Jumlah pertimbangan tunai untuk cadangan pengambilalihan ini akan dikira berdasarkan premium agregat yang bersamaan dengan SGD915 juta ditambah nilai aset bersih perniagaan pengguna apabila selesai.

Cadangan pengambilalihan ini dijangka dibiayai melalui lebihan modal dan dianggar akanmengurangkan nisbah Ekuiti Lazim Tahap 1 (CET1) UOB sebanyak 0.7 peratus kepada 12.8 peratus, berdasarkan kedudukan modalnya pada 30 Sept, 2021.

Bagaimanapun, kesan kepada nisbah CET1 dijangka tidak ketara dan adalah dalam keperluan kawal selia.

Dalam kenyataan berasingan, Citigroup menjelaskan persetujuan berkenaan meliputi semua kakitangan Citi yang berkaitan, dengan kira-kira 5,000 bank pengguna dan pekerja sokongan dijangka dipindahkan kepada UOB selepas selesai transaksi yang dicadangkan.

"UOB akan membayar pertimbangan tunai kepada Citi untuk aset bersih perniagaan yang diambil alih, tertakluk kepada pelarasan penutupan biasa, serta premium sebanyak SGD915 juta.

"Apabia selesai, Citi menjangkakan transaksi itu menghasilkan pelepasan kira-kira US$1.2 bilion (RM5.02 bilion) ekuiti biasa ketara yang diperuntukkan, serta peningkatan ekuiti biasa ketara melebihi US$200 juta (RM836 juta).

Ia menambah, seperti yang diumumkan sebelum ini, langkah keluar Citi daripada francais penggunanya di 13 pasaran di seluruh Asia Pasifik serta Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) dijangka menghasilkan kira-kira USS$7 bilion ekuiti biasa ketara yang diperuntukkan dari semasa ke semasa.

CEO Citi Malaysia, Usman Ahmed berkata, transaksi itu merupakan hasil positif untuk pelanggan, rakan bank dan firma Citi.

"Citi komited dengan pelaksanaan yang lancar, dan semasa peralihan kepada penutupan, tidak akan ada perubahan dalam perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan perbankan pengguna dan kekayaan kami.

"Malaysia kekal sebagai pasaran utama bagi Citi di peringkat global dan juga menempatkan Pusat Penyelesaian Citi yang penting iaitu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di mana kami memberi perkhidmatan kepada lebih 50 negara di seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 1:35 PM