JACK Tan (kiri) dan Natasha Sass dilantik sebagai HWC Friends.
JACK Tan (kiri) dan Natasha Sass dilantik sebagai HWC Friends.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: HWC Coffee Malaysia menyasarkan membuka tambahan 40 cawangannya di seluruh Malaysia, tahun ini dan memperkenalkan rangkaian luar negara pertamanya di Brunei, pertengahan April 2023.

Rangkaian kedai kopi itu juga akan mula mengendalikan Flagship Store dan Akademi Kopi di Malaysia bermula Mei depan.

Sejak cawangan pertama HWC Coffee dibuka di Pusat Beli-Belah One Utama April 2022, rangkaian itu berkembang pesat dengan membuka 15 cawangan dalam masa sembilan bulan sahaja.

Pada 2023, HWC Coffee berjaya melancarkan kedai mini di tiga bangunan rumah inap yang terkenal dan sehingga Februari, HWC Coffee mempunyai 18 cawangan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee Malaysia, Zenda Ng berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan di luar Lembah Klang, tahun ini, termasuk pembukaan di Pulau Pinang menjelang April.

Katanya, kedai utama akan menyediakan pilihan kopi lebih luas dalam kualiti dan julat harga yang berbeza untuk memenuhi pelbagai pilihan, manakala akademi kopi akan menekankan latihan barista, kursus pendek dan pengalaman kopi hujung minggu.

"Kami juga akan memperkenalkan perkhidmatan klinik kopi unik HWC Coffee dari Taiwan ke Malaysia, dan membabitkan pelanggan tempatan serta penggemar kopi dengan cara yang menarik," katanya dalam kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan HWC Coffee, syarikat itu menganjurkan lawatan ke Taiwan pada Mac ini, dengan menjemput pengamal media dari Malaysia dan Brunei, pencipta kandungan dan rakan niaga.

Matlamatnya adalah untuk mempromosikan komitmen HWC terhadap konsep 'Dari Ladang ke Cawan' dan profesionalisme HWC Coffee.

Peserta akan melawat ladang kopi terkenal di Alishan, Taiwan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kopi dan melihat sendiri penuaian kopi dan kaedah pemprosesan kopi.

Kumpulan itu juga melawat kedai panggang kopi di ibu pejabat HWC untuk melihat mesin pemanggang kopi udara panas penuh buatan Itali yang berteknologi tinggi, imf-60RAS, yang berharga RM1.3 juta.

Sementara itu, HWC Coffee juga mengadakan acara di Taiwan untuk mengumumkan pelantikan selebriti Malaysia, Jack Tan dan Natasha Sass sebagai HWC Friends.

Rangkaian kedai kopi itu juga akan melancarkan biji kopi bermusim serba baharu sempena pembukaan kedai utamanya di Malaysia.

Dua koleksi terbabit ialah HWC Taiwan Alishan Honey Roasted Coffee Bean dan HWC Ethiopia Yirgacheffe Roasted Coffee Bean, dengan pensijilan halal daripada Persatuan Pembangunan Integriti Halal Taiwan.

HWC Taiwan Alishan Honey Roasted Coffee Bean ialah biji kopi istimewa berkualiti tinggi yang dihasilkan bersama oleh HWC Coffee dan Teofahza Specialty Coffee Studio, yang akan dijual secara eksklusif di kedai utama.

HWC Ethiopia Yirgacheffe Roasted Specialty Coffee Bean akan tersedia pada Ogos di setiap kedainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 12:22 PM