HWC Coffee terima pengesahan pensijilan halal daripada Jakim. FOTO FB HWC Coffee Malaysia
HWC Coffee terima pengesahan pensijilan halal daripada Jakim. FOTO FB HWC Coffee Malaysia

Kuala Lumpur: HWC Coffee Malaysia sudah menerima pengesahan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk produk dan bahan digunakan pihaknya.

Ini pencapaian besar yang menegaskan komitmen jenama ini memberikan pengalaman kopi luar biasa kepada semua pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zenda Ng berkata, pensijilan halal Jakim satu proses ketat perlu dilalui untuk memastikan semua produk dan bahan HWC Coffee Malaysia mematuhi panduan Islam yang ditetapkan.

"Ini bermakna kopi, pastri, dan makanan lain dari HWC Coffee Malaysia adalah selamat dan boleh dinikmati oleh umat Islam," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada April 2022, HWC Coffee Malaysia berusaha keras untuk memperkukuh sebagai jenama rangkaian kopi istimewa pertama di negara itu.

Sejajar dengan visi ini, syarikat menjalankan misi untuk memperoleh pensijilan halal dalam setiap aspek penawaran HWC Coffee, daripada bahan untuk kek dan pastri, hinggalah ke biji kopi, semuanya datang daripada pembekal yang memiliki sijil halal.

Katanya, setakat ini, HWC Coffee mempunyai 32 cawangan di seluruh negara.

"Pensijilan ini bukan sahaja membuktikan komitmen syarikat untuk mematuhi standard tertinggi dalam pengeluaran makanan dan minuman, tetapi juga mencerminkan keinginan kukuh kami untuk mewujudkan persekitaran harmoni dan perpaduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 7:01 AM