FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka pulangan lebih tinggi kepada pencarum simpanan syariah apabila pengasingan sepenuhnya aset simpanan syariah akan dilaksanakan menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemisahan skim syariah itu akan membolehkan kawalan terhadap Alokasi Aset Strategik (SAA) dibuat dengan lebih menyeluruh.

Katanya, ini kerana ketika ini, terdapat kawalan secara keseluruhan yang menetapkan had maksimum untuk KWSP melabur ke dalam kelas asetnya seperti ke dalam pendapatan tetap dan ekuiti bagi skim syariah.

"Sejak simpanan syariah diperkenalkan pada 2017, KWSP giat berusaha meningkatkan model perniagaan semasa dengan mengasingkan sepenuhnya aset simpanan syariah daripada melabur bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional.

"Tetapi kalau kita pecahkan (skim syariah dan konvensional), kita boleh letak had yang lain untuk kedua-duanya dan peluang untuk kita memberi pulangan adalah lebih lagi.

"Saya rasa kalau kita boleh buat sedemikian, kemungkinan untuk kita meninggikan pulangan itu ada.

"Tetapi kita juga harus ingat bahawa pulangan ini bukan datang daripada skim ini sahaja, tetapi datang juga daripada keadaan ekonomi semasa," katanya pada sidang media selepas taklimat prestasi kewangan KWSP di sini, semalam.

Menurutnya, sudah enam tahun sejak KWSP memperkenalkan simpanan syariah dan pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan model perniagaan semasa menerusi pengasingan aset terbabit.

Amir Hamzah berkata, KWSP akan melancarkan pemisahan aset simpanan syariah dengan aset simpanan konvensional pada 1 Januari 2024 seperti yang dinyatakan dalam pengumuman Belanjawan 2023, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata, pihaknya masih dalam proses untuk menetapkan bagaimana pengurusan aset simpanan syariah akan dilakukan.

Menurutnya, ia masih dalam perbincangan sama ada diuruskan pasukan khusus atau pengurusan berpusat.

Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion.

Dividen 4.75 peratus pula untuk simpanan shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion bagi 2022.

Ini menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk 2022 sebanyak RM51.14 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 8:34 AM